GEORGETOWN: DAP menyelar tindakan sesetengah pihak yang menggunakan taktik tidak sihat, terutama memainkan sentimen kaum dan agama sebagai bahan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini.
Naib Pengerusi DAP merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata tindakan sedemikian tidak membantu mewujudkan suasana politik harmoni, selain menyifatkan amalan sedemikian sudah lapuk.
Beliau yang juga Ketua Menteri, sebaliknya menggesa semua pihak bergantung kepada pencapaian kerajaan negeri dan menggunakannya sebagai alat untuk `menyerang' mana-mana calon Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.
"Pendekatan ini membawa Malaysia kembali ke tahun 1980-an. Persaingan antara PAS-UMNO ketika ini membabitkan masyarakat Melayu yang berpecah kepada beberapa kumpulan penyokong mengikut parti dianggotai mereka.
"Ada segelintir penyokong UMNO mahupun tidak dibenarkan masuk ke masjid tertentu atau menghadiri mana-mana keraian dan perjumpaan. Semua ini amalan ketika 1980-an dan tidak sihat.
"Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir sebelum ini pun ada menyatakan bukan ahli PAS menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka. Justeru, sangat tidak baik untuk berkempen seperti ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang ustaz yang didakwa melabelkan mana-mana individu yang makan di kenduri anjuran calon BN DUN Sungai Dua, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin di sebuah surau di Tasek Gelugor, akan masuk neraka.
Shaik Hussien dipetik berkata, perkara itu diberitahu segelintir penduduk setempat di kawasan ditandinginya, selain menyifatkannya sebagai perkembangan sangat mengejutkan.
Apatah lagi, katanya, dakwaan itu bukan dibuat di Kelantan tetapi di Sungai Dua, satu kawasan kecil dalam Pulau Pinang.
Sementara itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengakui optimis untuk merebut lebih 30 daripada 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi gabungan itu pada PRN Pulau Pinang, 12 Ogos ini.
Beliau juga menyifatkan, jangkaan calon PH DUN Bukit Tengah, Goh Choon Aik bahawa gabungan itu mampu menawan 26 kerusi, sebagai ramalan sangat minimum dan boleh dipertingkatkan untuk meraih kemenangan dengan majoriti dua pertiga.
"Saya rasa kenyataan Choon Aik (dibuat) berdasarkan komposisi pengundi yang mana saya agak daripada 26 kerusi yang dikatakan boleh dimenangi, termasuk 19 daripada DAP.
"Pandangan beliau merujuk kepada PH, selebihnya itu dari PKR dan AMANAH, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan majoriti pengundi di 26 kerusi berkenaan.
"Saya pernah kata kalau boleh capai 30 hingga 32 kerusi boleh dianggap keputusan baik, tetapi ini pun anggaran awal. Kita akan terus memantau perkembangan mengikut perjalanan kempen," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, pihaknya belum memuktamadkan keputusan, sama ada akan mengisytiharkan cuti khas sempena hari mengundi, pada 12 Ogos ini.
"Saya perlu mengambil kira sentimen pelabur dan sektor industri yang akan berdepan kerugian jika cuti khas diberikan pada tarikh berkenaan dengan ia perlu diseimbangkan untuk meminta pengundi keluar mengundi," katanya.