
Calon PH bagi kerusi DUN Kuah, Ahmad Fauzi Chik bersalam dengan peniaga ketika tinjauan di Pasar Awam Kuah, Langkawi. NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Ahmad Fauzi Chik menggariskan tiga tekad bagi menjaga kebajikan penduduk.
Beliau berkata, antara tekad itu termasuk mewujudkan mesin juruwang automatik (ATM) di Pulau Tuba bagi memudahkan urusan pengeluaran wang membabitkan kira-kira 2,000 penduduk di pulau itu.
"Saya juga beriltizam untuk menyelesaikan masalah ibu tunggal menerusi penyediaan bengkel kemahiran memasak dan jahitan supaya mereka dapat menjana aset dan pendapatan sendiri.
"Seterusnya menubuhkan sebuah tahfiz sains bagi melahirkan pelajar seimbang dari segi ilmu sains, agama, duniawi dan ukhrawi," katanya ketika ditemui selepas melakukan jelajah mesra di Pasar Malam Kampung Kedawang, di sini semalam.
Ahmad Fauzi, 63, yang berpengalaman dalam bidang politik selama 40 tahun menyasarkan menemui seberapa ramai pengundi dalam DUN itu menerusi program jelajah mesra sepanjang tempoh berkempen.
"Menerusi pendekatan bertemu empat mata itu, saya dan jentera PH dapat mengenali setiap pengundi serta masalah yang dihadapi mereka, malah pengundi juga akan berasa dekat dengan saya," katanya.
Kerusi DUN Kuah menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ahmad Fauzi (PH), Amar Pared Mahamud (Perikatan Nasional) dan Mazlan Ahmad (Bebas).