View: 1964|Reply: 1
|
[Politik]
Najib hantar representasi kedua mohon gugur kes pecah amanah
[Copy link]
|
|
Najib hantar representasi kedua mohon gugur kes pecah amanah
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Ezairi Shamsuddin
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghantar representasi kedua untuk menggugurkan tuduhan pecah amanah yang dihadapinya bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Najib dan Mohd Irwan didakwa atas enam tuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berhubung bayaran kepada syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC).
Pada sebutan kes itu pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya menerima surat representasi daripada firma guaman mewakili Najib, Tetuan Muhammad Shafee & Co minggu lalu.
Muhammad Saifuddin berkata, sehubungan itu beliau diarahkan untuk memohon satu tarikh bagi Peguam Negara menimbangkan representasi berkenaan.
"Oleh kerana ini membabitkan banyak dokumen, saya pohon tarikh pengurusan kes dalam sebulan setengah atau dua bulan (untuk mengetahui perkembangan representasi)," katanya.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mengesahkan perkara itu, tidak membantah permohonan pendakwaan dan memohon tempoh dua minggu bagi tarikh pengurusan kes.
Sementara itu, Datuk K Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan pula memohon tempoh sebulan dan memaklumkan bahawa beliau menunggu keputusan representasi anak guamnya sejak tiga bulan lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, kemudian menetapkan pada 12 September ini bagi tarikh pengurusan kes bagi pendakwaan memaklumkan status representasi.
Pada 3 April lalu, mahkamah sepatutnya mula mendengar perbicaraan kes berkenaan, bagaimanapun pendakwaan memohon ia ditangguhkan kerana terdapat perkembangan baharu.
Ia susulan pendakwaan menerima surat representasi kedua daripada Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan bagi menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guamnya yang sedang diteliti oleh AGC.
Najib mengemukakan representasinya dua tahun lalu tetapi ditolak, manakala representasi dihantar oleh Mohd Irwan pada 2020 tidak dijawab oleh AGC, yang kemudiannya menghantar permohonan representasi baharu Mac lalu.
Pada 24 Oktober 2018, Najib, 70 dan Mohd Irwan, 67 mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.
Mereka dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Sumber:
https://www.bharian.com.my/berit ... ur-kes-pecah-amanah
|
|
|
|
|
|
|
| |
|