|
Volkswagen Malaysia hari ini mengadakan pra tonton awal untuk Golf R generasi kelapan, versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan dilancarkan secara rasmi pada suku keempat tahun ini. Harga rasminya masih belum ada, tetapi maklumat yang kami dapat, ia akan berada sekitar RM330k-RM350k.
Harga anggaran ini menunjukkan versi CKD akan menjadi lebih murah berbanding Golf R import dari Jerman sebelum ini, yang dilancarkan pada Februari 2022 dengan harga pasaran RM356,412. Walaupun dengan harga yang lebih murah, Golf R CKD ini menawarkan lebih nilai kerana menerima pelbagai peningkatan.
Pertamanya, Golf R ini datang terus dengan pakej R Performance, yang memberikan set ekzos titanium Akrapovic yang tujuh kilogram lebih ringan berbanding ekzos biasa, tambahan mod pemanduan Drift dan Special, spoiler belakang khas serta rim Estoril 19 inci.
Dalam mod Drift, yang boleh diakses melalui butang R pada stereng, fungsi Electronic Stability Control (ESC) akan ditutup dan kuasa akan dihantar lebih kepada roda belakang, membolehkan pemandu membuat aksi drift. Mod Special pula adalah untuk pemanduan berkuasa yang lebih mencengkam.
Turut dipertingkat adalah pada bahagian keselamatan, di mana Golf R CKD ini sekarang datang dengan teknologi IQ.Drive, yang memberikan sistem termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan Emergency Assist.
Kemudiannya di dalam bahagian kabin, beberapa lagi kelengkapan ditambah, membezakan model CKD ini dengan model CBU, iaitu head-up display, pengecas telefon tanpa wayar serta lampu tinggi automatik.
Pakej penggerak yang sama masih dikekalkan pada Golf R CKD ini iaitu enjin 2.0 liter TSI EA888 yang mampu menghasilkan kuasa 320 PS dan 400 Nm tork bersama padanan transmisi DSG klac berkembar tujuh kelajuan, serta sistem pacuan AWD 4Motion, membantunya untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Volkswagen Golf R CKD ini akan ditawarkan dalam tiga warna untuk pasaran Malaysia iaitu Lapiz Blue, Deep Black dan Pure White. Untuk pengetahuan juga, dengan pengenalan model ini, Malaysia akan menjadi negara pertama di luar Jerman yang memasang Golf R.
https://paultan.org/2023/08/08/v ... povic-bawah-rm350k/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|