
Bekas pemain bola sepak, Mohd Radhi Mat Din meraikan kejayaan bersama isteri dan anak selepas diumumkan menang DUN Alor Mengkudu, malam tadi. Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din menganggap sokongan pengundi muda yang berterusan sepanjang kempen membolehkannya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Radhi yang menang Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu turut mencipta kejutan apabila menewaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dengan majoriti 10,104 undi.
Dalam saingan dua penjuru itu, Radhi sebagai calon Perikatan Nasional (PN) memperoleh 18,936 undi, berbanding Mahfuz yang meraih 8,832 undi.
"Saya bersyukur kerana penduduk DUN Alor Mengkudu membuat suatu perubahan serta kesedaran yang tepat pada masanya dan dengan perubahan ini, kita akan berusaha melaksanakan apa yang yang dijanjikan.
"Tidak dinafikan bahawa gelombang ini adalah salah satu faktor yang penting, tetapi tapi dalam politik semasa ini, anak muda juga sudah 'mengetahui' corak pemerintahan PH dan ini menyebabkan mengapa mereka menolak.
"Ini adalah cabaran baharu yang ada di Kedah dan kita cuba perbaiki segala kelemahan, kita akan persembahkan yang terbaik untuk pentadbiran Kedah," katanya ketika ditemui di Dewan Sultan Abdul Halim, Maktab Mahmud, malam tadi.
Radhi juga menganggap kemenangannya menewaskan Mahfuz adalah ketentuan kerana beliau pernah tewas kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU15) lalu.
"Ini satu proses biasa sama ada di Pokok Sena atau juga di mana sahaja kerana ini adalah proses pertandingan dalam politik.
"Sebelum ini ketika PRU15 mungkin gelombang kita tak mampu nak hadapi, tetapi pada hari ini, gelombang itu berpatah balik bersama PN," katanya.