GEORGETOWN: PKR Pulau Pinang mengesahkan sudah mengemukakan tiga nama calon untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri serta dua jawatan EXCO negeri.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, mereka terdiri dua calon Melayu dan seorang berbangsa Cina yang masing-masing meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan tiga nama yang diserahkan itu.
"Kita masih tunggu keputusan pihak atasan termasuk Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) sendiri, (jadi) nama tidak boleh kongsi lagi kerana takut mereka tidak dipilih nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehingga kini, persoalan mengenai siapa bakal Timbalan Ketua Menteri masih menjadi teka-teki meskipun khabar angin kuat mengatakan bekas Ahli Dewabn Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Naina Merican bakal dilantik memegang jawatan itu.
Malah, satu poster ucapan tahniah turut tersebar di media sosial memaparkan foto Reezal Merican sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan ADUN Batu Uban, A Kumaresan sebagai Timbalan Ketua Menteri 2 bergandingan bersama Kon Yeow.
Bakhtiar dalam pada itu memohon semua pihak menghentikan penyebaran poster sedemikian yang dikhuatiri memberi tekanan kepada pihak yang bakal membuat keputusan.
Sementara itu, pemimpin parti negeri termasuk Reezal Merican dan Kumaresan mengambil pendekatan mengunci mulut dengan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dijadual berlangsung 10 pagi esok di Dewan Sri Pinang.
Sebelum ini, nama ADUN Batu Maung, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid dari PKR dikaitkan sebagai berpotensi dilantik Timbalan Ketua Menteri 1, manakala ADUN Perai, Datuk Seri S Sundarajoo dari DAP sebagai Timbalan Ketua Menteri 2.
Ia mengambil kira tradisi sejak 2008 di mana jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 menjadi kuota ADUN PKR berbangsa Melayu, manakala Timbalan Ketua Menteri 2 dipegang ADUN daripada kaum India.
Sesetengah pihak berpandangan satu cara untuk meredakan keadaan adalah dengan memansuhkan jawatan Timbalan Ketua Menteri seperti Selangor yang memperkenalkan jawatan ECXO kanan.
Pulau Pinang juga boleh mengikut langkah kerajaan Sabah memperkenalkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 3.
Ketika ini, portfolio Pembangunan Tanah dan Ekonomi hampir pasti dipegang Ketua Menteri seperti kelaziman, manakala portfolio utama seperti Kerajaan Tempatan, Perumahan, Infrastruktur dan Pengangkutan dijangka diberikan kepada ADUN DAP, sementara Hal Ehwal Agama Islam diberikan kepada wakil rakyat PKR.
ADUN yang mungkin diberi peluang sebagai EXCO adalah yang berkhidmat dua penggal atau lebih, antaranya, Daniel Gooi, Ong Ah Teong dan Heng Lee Lee dari DAP, selain Goh Choon Aik, Gooi Hsiao Leung dan A Kumaresan dari PKR.