Padang Besar: Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis merampas 35 kilogram syabu yang disembunyikan dalam bungkusan teh Cina menerusi Operasi Melong Dragon di Sungai Kuala Perlis, di sini, 4 Ogos lalu.
Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, dadah dianggar bernilai RM1.15 juta itu ditemui dalam guni beras yang ditinggalkan di tebing sungai, pada 7.30 malam.
"Operasi dilaksanakan hasil risikan dilakukan oleh pasukan operasi Unit Narkotik JKDM Padang Besar.
"Kita mendapat maklumat bekalan dadah akan mendarat di tebing sungai berkenaan dan menempatkan anggota di lokasi untuk membuat pemantauan," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ismail berkata, selepas sejam menunggu tiada siapa yang memunculkan diri menyebabkan pihaknya melakukan pemeriksaan lanjut terhadap bekalan dadah terbabit.
"Pemeriksaan di dalam guni itu menemukan sejumlah bungkusan berwarna keemasan mengandungi teh Cina yang di dalamnya berisi dadah.
"Kita percaya modus operandi sindiket adalah cuba membawa masuk dadah dari negara jiran melalui jalan laut menggunakan sampan kecil bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, dadah yang cuba diseludup ini juga disyaki dipasarkan di sekitar kawasan utara tanah air.
"Kuantiti syabu yang dirampas itu mampu menampung permintaan sebanyak 174,600 orang penagih dadah.
"Pihak kami kini sedang giat menjejaki sindiket berkenaan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.