CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1140|Reply: 0

[Pulau Pinang] Murid pintar hidap tumor otak agresif akan jalani rawatan di Korea

[Copy link]
Post time 18-8-2023 06:54 PM | Show all posts |Read mode
Murid pintar hidap tumor otak agresif akan jalani rawatan di Korea


Siti Aminah Mohd Yusof
[email protected]



RAYYAN Durrani Khairul Azhar yang menghidapi ketumbuhan otak agresif tahap 4 dikenali sebagai "Paediatric Type Diffuse Midline Glioma (DMG)" . FOTO Danial Saad




Georgetown: Murid pintar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor di sini tidak berputus asa meneruskan kehidupan biarpun terpaksa menanggung kesakitan hampir setiap masa selepas disahkan menghidap ketumbuhan otak agresif tahap empat.

Rayyan Durrani Khairul Azhar, 12, berkata hampir setengah tahun dia tidak menjejakkan kaki ke sekolah sejak didiagnosis menghidap penyakit jarang jumpa dikenali sebagai itu Diffuse Midline Glioma (DMG) pada Mac lalu.

"Saya teringin sangat nak jumpa kawan-kawan dan semua cikgu. Tak tahu bila saya dapat ke sekolah semula. Kalau diikutkan saya belum pernah masuk kelas sejak naik tahun enam.

"Baru-baru ini ada kawan beritahu nak datang melawat. Tak sabar mahu jumpa mereka," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bagi menampung kos rawatannya di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang di sini, hari ini.



ABDUL Rashid (tiga dari kanan) menyerahkan wang sumbangan kutipan kepada Khairul Azhar (dua dari kiri). Foto Danial Saad

Anak kedua daripada lima beradik itu pernah mewakili Pulau Pinang dalam pertandingan Cabaran Inovasi, Robotik dan Koding (IRCC) peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut sejak berusia sembilan tahun.

Bapanya, Khairul Azhar Baba berkata, doktor memaklumkan kanak-kanak yang menghidapi penyakit itu hanya mampu bertahan sekitar 12 hingga 18 bulan daripada diagnosis pertama.

Katanya, melalui pengimejan resonans magnetik (MRI) pertama doktor mengesan ketumbuhan bersaiz kira-kira satu sentimeter (sm) di tengah kawasan otak beserta sedikit pendarahan.

Berikutan itu Rayyan sudah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali yang mana tumor berkenaan membesar lebih tiga sm dalam tempoh dua bulan dengan sel-sel kanser masih menyerang dengan agresif sehingga kini.

Bagi keluarga mereka, takdir Tuhan tidak terduga kerana sebelum diketahui menghidap penyakit itu Rayyan bercita-cita menjadi pakar bedah otak dan pernah bergaya ala doktor semasa acara pakaian beragam di sekolahnya tahun lalu.

"Walaupun dalam keadaan lemah kadang-kadang dia masih cuba belajar.

"Dalam kebanyakan masa dia susah tidur kerana menahan sakit tetapi dia diam sahaja dan tidak banyak merungut. Kami lihat dia lebih meningkatkan pengisian rohani seperti membaca al-Quran dan berzikir.

"Dia seorang yang positif. Ini saya dapat lihat daripada status yang dimuat naik di media sosial, selain bersembang dan berkongsi perkembangan dirinya dengan rakan sekolah dalam kumpulan WhatsApp," katanya.

Khairul yang bekerja sendiri berkata situasi paling meremukkan hatinya ialah mengetahui penyakit itu tiada ubat dan prosedur radioterapi selama lima minggu yang dilalui sebelum ini hanya membantu sekitar 20 peratus.

Namun dia melihat sedikit jalur harapan apabila Rayyan dijadual berangkat ke Hospital Universiti Kebangsaan Seoul di Korea Selatan pada 26 Ogos ini untuk melihat pilihan rawatan bersesuaian dengan situasi yang dialaminya.

"Rayyan terpilih melalui ujian percubaan klinikal dengan sebahagian kos rawatan bakal ditaja penganjur namun kos pengangkutan dan rawatan komplikasi adalah di bawah tanggungjawab kami.

"Saya fikir lebih baik kami berusaha daripada berputus asa, balik rumah dan cipta memori.

"Berjaya atau tidak, setiap anak-anak berhak mendapatkan yang terbaik dan kami serah semuanya kepada Allah," katanya sebak.



Disiarkan pada: Ogos 18, 2023 @ 5:56pm










Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-3-2025 07:35 PM GMT+8 , Processed in 0.088320 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list