CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2457|Reply: 0

V-Strom 800DE mesin pengembaraan mampu milik Suzuki

[Copy link]
Post time 12-9-2023 04:37 PM | Show all posts |Read mode

Suzuki V-Strom 800DE 2023 motosikal pengembaraan enjin berkembar selari 776cc.

KUALA LUMPUR: Selepas 18 tahun berada di pasaran, model legenda Suzuki V-Strom 650 kini mempunyai 'saudara' baharu apabila Suzuki menambahkan motosikal pengembaraan enjin berkembar selari 776cc ke dalam rangkaian modelnya, iaitu Suzuki V-Strom 800DE 2023.

Suzuki melengkapi model ini dengan rekaan enjin berkembar selari yang baharu sepenuhnya. Ia adalah reka bentuk enjin DOHC empat injap. Suzuki cuba menghasilkan cita rasa enjin V-twin dengan 'timing crankshaft' 270 darjah.

Di bawah tempat duduk pula terdapat kotak udara enam liter menyedut aliran udara untuk pemacuan tork. Selain itu, setiap silinder dipasang piston aluminium padat 8 milimeter (mm) yang baharu, memacu enjin berkembar ini ke had garis merah 9,250 rpm.

Ia adalah enjin sama model sport 2023 iaitu Suzuki GSX-8S, yang menggantikan SV650.



Meskipun penampilan V-Strom 800 DE adalah lebih kepada motosikal lasak, namun Suzuki cuba menyeimbangkan gabungan harmoni antara pengembaraan, versatiliti dan juga prestasi.

Enjin baharu

Sistem baharu yang dinamakan Cross Balancer diperkenalkan Suzuki, didakwa sebagai strategi yang tidak hanya melancarkan operasinya, tetapi juga menjadi kunci kepada berat dan saiz, justeru menjadikan pengendalian stabil dan lincah.

Menurut Suzuki, setiap satu 'balancer' adalah untuk setiap silinder, yang mana membolehkan sistem ini menjadi lebih ringan dan lebih kompak. Dua 'balancer' itu ditempatkan dalam susunan 90 darjah pada crankshaft.

Memanfaatkan teknologi 'ride-by-wire', terdapat tiga mod tunggangan - Aktif, Asas, dan Selesa. Mod (Mod A) adalah yang paling aktif dan sporty, dengan tindak balas pendikit yang bertenaga.

Mod asas (Mod B) melambatkan respons pendikit dan menghasilkan penghantaran kuasa yang lebih mendatar atau linear.

Mod Selesa (Mod C) memperlahankan segalanya yang mana sesuai hari hujan dengan tindak balas pendikit yang perlahan dan penghantaran kuasa yang terhad. Mod yang berbeza juga mengubah campur tangan kawalan daya cengkaman dengan sewajarnya.

Terdapat 'ECM-assisted quickshifter' atau penukar gear pantas dibantu ECM untuk transmisi enam kelajuan. Ia juga mempunyai klac berdiameter besar yang menawarkan fungsi slipper klac untuk rasa yang genggaman klac lebih ringan dan lembut.

V-Strom 800DE didatangkan dengan bingkai atau rangka serba baharu. Menggunakan tiub keluli, ia adalah reka bentuk 'backbone' yang lazimnya. Sub-rangka keluli boleh ditanggalkan untuk penyelenggaraan atau penggantian.

Karektor pengembara lasak

Casis Suzuki V-Strom 800DE 2023 direka untuk mencabar kehebatan laluan lasak Yamaha Ténéré 700.

Suspensi Showa boleh laras sepenuhnya mempunyai jarak hentakan 8.7 inci, lebih besar daripada mana-mana V-Strom sebelumnya. Selain itu ia menggunakan fork depan terbalik.

Dengan jarak hentakan suspensi yang lebih besar ini, ia menyaksikan jarak pelepasan motosikal ke tanah yang juga lebih besar iaitu 8.75 inci. Sementara itu berat motosikal pula adalah 507 paun dengan kapasiti tangki lebih besar iaitu 5.3 gelen.

Penampilan motosikal lasak diperhebatkan lagi dengan gabungan roda jejari yang besar iaitu 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Walau bagaimanapun, penggunaan tayar Dunlop Trailmax Mixtour agak bertentangan dengan karektor itu kerana tayar ini lebih kepada penggunaan di jalan raya.

Model 800DE mempunyai tiga tahap kawalan sistem brek ABS, dengan kecenderungan tunggangan di jalan lasak. Mod ABS 2 adalah yang paling tinggi untuk tunggangan di jalan basah, dengan mod 1 meringankan cengkaman.

ABS pada roda belakang boleh dimatikan untuk tunggangan di luar jalan, namun ABS roda hadapan tidak dapat dimatikan.

Brek terdiri daripada cakera terapung 310mm di hadapan dengan angkup Nissin yang dipasang secara konvensional, ditambah cakera 260mm dengan angkup omboh tunggal. Tuas brek hadapan boleh dilaraskan.

Dari segi kawalan cengkaman atau TC, ia mempunyai empat mod. Terdapat tiga mod campur tangan tunggangan yang berbeza untuk kegunaan jalanan, ditambah dengan 'mod Gravel' bagi tunggangan lasak.

Bagi mereka yang tidak mahu sebarang pengawasan, TC boleh dimatikan.

Paparan TFT lengkap

Model ini dilengkapi dengan paparan TFT lima inci yang memaparkan pelbagai maklumat asas yang diperlukan semasa dalam perjalanan, seperti halaju, kiraan rpm dan kapasiti bahan api.

Pemilik juga boleh membuat tetapan untuk ia mengeluarkan amaran mengenai tempoh servis atau masalah motosikal.

Skrin mempunyai mod siang dan malam dengan pelarasan kecerahan automatik, bersama dengan penyalut menjadikannya tidak silau dan mudah dilihat dalam cahaya matahari.

Bergantung pada cara anda mengkonfigurasi paparan, anda mempunyai akses visual segera kepada bacaan suhu udara, julat, kadar penggunaan bahan api, dua tripmeter dan suhu penyejuk.

Jika anda suka, anda boleh melaraskan lampu berkelip pada kelajuan enjin pilihan anda seperti melebihi 4000 rpm. Selain itu, terdapat banyak lampu amaran di bahagian tepi bingkai mengelilingi paparan.

Plat pelindung enjin, peg kaki dengan sisipan getah boleh tanggal, pelindung tangan dan 'Anti-stall Low-RPM Assist' untuk disediakan untuk tunggangan jalan lasak.

Bantuan RPM Rendah ini juga mengurangkan kemungkinan motosikal terhenti secara tiba-tiba ketika fasa permulaan memutar pendikit atau ketika pendikit tidak dipulas dengan secukupnya.

V-Strom 800DE juga mempunyai skrin penghadang angin yang rendah dengan tiga tahap pelarasan. Namun anda terpaksa menggunakan perkakasan untuk melaraskan skrin ini.

Ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga asas RM60,800 seunit, menjadikan V-Strom 800DE adalah antara model motosikal genre pengembara lasak yang menarik dan praktikal untuk dimiliki ketika ini jika dibandingkan dengan penawaran oleh jenama terkenal lain.
https://www.bharian.com.my/bisne ... -mampu-milik-suzuki
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-12-2024 10:58 PM GMT+8 , Processed in 0.242953 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list