|
Seorang wanita bertindak kejam, sanggup membunuh anaknya gara-gara bimbang kanak-kanak itu akan mendedahkan hubungan sulitnya bersama lelaki lain kepada suaminya.
India Today melaporkan, kejadian yang terjadi di Gwalior, India itu berlaku sewaktu suami kepada suspek yang bernama Dhyan Singh menganjurkan perasmian kedai miliknya pada 28 April yang lalu.
Difahamkan, suaminya menjemput ramai kenalan termasuk seorang jiran lelaki bernama Uday Indauliya yang menjalin hubungan bersama isterinya, Jyoti Rathore.
Gambar Hiasan
Ketika tetamu lain sedang sibuk melakukan beberapa aktiviti di majlis berkenaan, Jyoti dan Uday bermesra di atas balkoni sebelum kelakuan tidak senonoh mereka disaksikan oleh anak wanita tersebut.
Jyoti yang terkejut dengan situasi tersebut, bertindak melempar anaknya yang berusia tiga tahun itu dari balkoni.
Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan serius di bahagian kepala namun meninggal dunia pada keesokan harinya.
Sementara itu, ramai yang percaya bahawa anak pasangan tersebut terjatuh secara tidak sengaja.
Namun, Jyoti kemudian membuat pengakuan mengenai apa yang telah berlaku selepas mengalami mimpi buruk tentang anaknya itu.
Terkejut mendengar pengakuan isterinya itu, Dhyan segera menghubungi pihak polis untuk memfailkan kes berkenaan. -CARI |
|