California: Mogul industri muzik, Simon Cowell percaya penyanyi Indonesia, Putri Ariani boleh menang America's Got Talent (AGT) musim ini yang keputusannya diketahui esok.
Cowell, 63, berkata Putri, 17, adalah permata sangat berharta yang memiliki kombinasi bakat vokal luar biasa serta kesungguhan tinggi untuk menang.
"Kamu adalah satu daripada berlian kecil yang cukup jarang kami temui setiap beberapa tahun. Kamu memang dilahirkan sejak azali untuk lakukan ini.
"Kamu sudah atasi pelbagai perkara dalam hidup kamu dan harapnya impian kamu jadi kenyataan menerusi rancangan ini. Kamu sangat layak (untuk menang)," katanya.
Pada peringkat akhir AGT hari ini, Putri yang mempunyai masalah penglihatan sekali lagi menjentik emosi penonton dengan persembahan penuh menyentuh.
Menyanyikan Don't Let the Sun Go Down On Me yang dipopularkan Elton John, dia mengekalkan konsep persembahan duduk bermain piano dengan persalinan bak bidadari.
Berlangsung di Pasadena Civic Auditorium, di sini, Putri mendapat 'standing ovation' Cowell, serta tiga juri lain, Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel.
Demikian juga seluruh penonton yang hadir menyaksikan acara yang memasuki musim ke-18 itu.
Seramai 10 finalis lain turut bersaing adalah Mzansi Youth Choir, Avantgardey, Lavender Darcangelo, Chibi Unity, 82nd Airborne Chorus, Anna DeGuzman, Ahren Belisle, Ramadhani Brothers, Murmuration serta Adrian Stoica and Hurricane.