|
PETALING JAYA – Penduduk Gaza kini terputus bekalan elektrik dan air selain ada yang terpaksa menumpang di bangunan kosong apabila rumah mereka di bom akibat serangan bertalu-talu tentera Israel.
Situasi itu dikongsikan seorang wanita warga Malaysia menerusi akaun facebooknya pada Isnin lalu, Nurul Ain Haron yang memberitahu, dia terpaksa menggunakan bateri kereta sebagai sumber tenaga untuk mendapatkan liputan internet.
Menurut wanita itu, dia dan keluarganya terselamat daripada serangan terbaru tentera rejim Zionis di Gaza, Palestin.
“Kami terpaksa mengambil air dari tangki yang terbiar. Saya juga mengaku tidak mendapat tidur yang mencukupi gara-gara serangan bom Israel yang bertubi-tubi.
“Kalau boleh nampak di sebelah sana (tempat), ada asap-asap hitam. Tempat itu baru saja kena bom.
“Untuk penduduk yang tiada rumah atau rumah mereka dibom, mereka akan lari dan menumpang rumah kosong di sebelah rumah keluarga mereka,” katanya.
Tambahnya, ada sesetengah penduduk yang melarikan diri ke kawasan sekolah, rumah saudara mara ataupun kawan-kawan.
Nurul Ain dalam pada itu memohon bantuan rakyat Malaysia untuk tetap menyokong dan berdoa buat keselamatan mereka di sana. –CARI
Sumber: Kosmo |
|