|
MARTIN melakar kejutan musim lalu apabila memberi tentangan sengit terhadap Bagnaia biarpun dia hanya menunggang jentera pasukan setelit. - AFP
LONDON – Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin memberi amaran kepada Ducati bahawa dia bersedia untuk mencari peluang lain sekiranya tidak dapat menyertai pasukan utama.
Pada tahun ini, Martin tampil cemerlang apabila bergelar naib juara MotoGP 2023 dengan memberikan tentangan sengit sekali gus dikatakan berpeluang berpindah ke pasukan utama.
Bagaimanapun, Ducati membuat keputusan untuk mengekalkan Enea Bastianini pada musim depan selepas pelumba Itali itu tidak berpeluang untuk mempamerkan bakat sebenar apabila dihimpit kecederaan sekali gus kekal bergandingan bersama Juara Dunia MotoGP 2023, Francesco Bagnaia.
Martin terpaksa menerima keputusan yang dibuat itu untuk musim depan, namun berpendapat sekiranya Ducati menafikan haknya biarpun tampil cemerlang musim baharu nanti, dia bersedia untuk mencari pasukan lain selepas berakhirnya musim 2024.
“Keutamaan saya pada 2025 adalah 100 peratus untuk menyertai pasukan utama kerana saya kenal mengenai jentera Ducati ini dan terlibat sama dalam projek dalam pasukan Itali tersebut.
“Tetapi, jika mereka (Ducati) tidak mahu saya atau menilai bahawa saya bukan yang terbaik, saya akan mencari peluang lain,” kata Martin.
Pada musim 2024, Martin akan bergandingan bersama bekas pelumba Yamaha, Franco Morbidelli dengan menggunakan jentera Ducati Desmosedici GP24. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... ri-ducati-kata-dua/ |
|