CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 23796|Reply: 3

Gangguan roh pekerja, amukan pengantin tanpa kepala

[Copy link]
Post time 21-12-2023 10:19 PM | Show all posts |Read mode
Gangguan roh pekerja, amukan pengantin tanpa kepala



SEWAKTU berkunjung ke Peru pada tahun 2013, saya menginap di sebuah hotel lama di Sacred Valley. Hotel tersebut agak klasik kerana sebahagian besar bangunannya dibuat daripada kayu dan dikelilingi oleh gunung-ganang yang puncaknya diselaputi glasier serta hamparan awan. Cantik sekali.

Tapi bukan kisah kecantikan itu yang ingin saya ceritakan. Di situ, saya menginap sebilik dengan CEO Poto Travel & Tours Sdn. Bhd., Ab. Rahman Mohd. Ali. Suatu malam, kami pergi berbual-bual dengan dua orang lagi pegawai POTO Travel, Aisham dan Huzaini, yang menginap di bilik sebelah.

Tiba-tiba Ab. Rahman bangun, katanya hendak ke bilik kami sebentar untuk mengambil barang. Saya hulurkannya kunci bilik. Beberapa minit kemudian, Ab. Rahman kembali ke bilik tempat kami sedang berbual tadi dan bertanya: “Zul, kenapa kau tak kunci bilik kita? Pintu terlapang, kalau orang masuk, habis harta benda kita.”

Saya tercengang. Saya sudah mengunci pintu bilik kami. Tidak mungkin saya biarkan ia terbuka kerana di dalam beg kami penuh dengan barang-barang keperluan, dokumen perjalanan, pasport dan wang.

Saya terangkan pada Ab. Rahman, masih terbayang lagi bagaimana saya mengunci pintu bilik kami. Manakan tidak, pintu itu unik. Ia dibuat daripada kayu tebal dan menggunakan kunci yang besar serta klasik. Belum pernah saya melihat pintu hotel yang seunik itu.

Tetapi disebabkan malas hendak panjangkan cerita, saya beralah dengan mengatakan, mungkin juga saya terlupa. Saya ingatkan cerita ini habis di situ.

Hotel di mana kami menginap. Pemandangan sekelilingnya cantik.

Esoknya ketika kami sedang bersarapan, Huzaini, salah seorang pegawai POTO Travel bertanya satu soalan yang pelik.

“Zul, malam tadi, lepas kau keluar dari bilik kami, kenapa kau kunci pintu dari luar? Kita orang tak dapat nak keluar tau,” kata Huzaini.

Saya tercengang. Untuk soalan ini, saya tidak mahu mengalah lagi. Tidak logik langsung. Mana mungkin saya kunci pintu bilik mereka dari luar sebab ia akan menyebabkan kawan-kawan saya itu terperangkap. Takkanlah saya hendak menyusahkan mereka pula.

“Kalau kau tak kunci dari luar, kenapa kami tak boleh buka pintu?” soal Huzaini lagi.

Lebih pelik lagi, kata Huzaini, ketika hendak membuka pintu biliknya, tiba-tiba seperti ada seseorang yang menariknya dari luar supaya tidak dapat dibuka. Hanya selepas beberapa kali mencuba, barulah berjaya. Anehnya, apabila Huzaini menjenguk, tiada sesiapa di luar.

Kami tercengang mendengar cerita Huzaini itu. Ada ‘sesuatu’kah di hotel ini yang mengganggu kami?


SEWAKTU dalam kenderaan ketika kami dalam perjalanan menuju ke Cusco, Ab. Rahman mengajukan satu soalan kepada pemandu pelancong kami, Willington Calderon.

Kata Ab. Rahman: “Willington, boleh tak awak ceritakan tentang kejadian-kejadian pelik dan misteri di hotel tempat kita menginap malam tadi?”

Willington terkejut. “Mana awak tau? Siapa beritahu awak hotel kita berhantu?”

Kalau begitu, maknanya, memang betullah hotel kami itu berhantu! Kami bertanya serentak.

Willington ketawa. “Ya, betul. Malam tadi awak ada dengar tak bunyi orang berjalan, berlari, ketuk-ketuk pintu atau paip air terbuka sendiri?” dia bertanya.

Saya terus mengesahkannya. Ya, memang malam tadi saya dengar bunyi tapak kaki orang berjalan dan berlari-lari di depan bilik kami. Kenapa Willington?

Pemandu pelancong kami itu terus bercerita. Kata Willlington, boleh dikatakan setiap penghuni dan pelancong yang dibawanya menginap di hotel berkenaan mengadu perkara yang sama.

Willington kemudian mengaitkan kejadian-kejadian misteri itu dengan sejarah pembinaan hotel tersebut. Hotel lama yang berusia lebih 100 tahun itu asalnya dimiliki oleh seorang hartawan Sepanyol. Bagaimanapun, hartawan itu manusia yang kejam.

Dia bukan saja mengerah keringat pekerja-pekerjanya yang terdiri daripada warga peribumi Peru dengan cara yang zalim, malah enggan membayar gaji mereka. Ramai daripada kalangan mereka yang mati akibat didera dan jatuh sakit. Sebahagian lagi dibunuh apabila mendesak supaya dibayar gaji.

“Roh pekerja-pekerja inilah yang berlegar-legar dan mengganggu para penghuni hotel,” jelas Willington.

Selain itu, sambung Willington, para penghuni juga sering terlihat bayangan seorang lelaki berpakaian labuh mundar-mandir di dalam bilik dan sekitar hotel. Jelmaan itu dikatakan roh seorang paderi.


“Untuk pengetahuan awak semua, saya ni penakut. Malam tadi saya tak tidur langsung, takut hantu-hantu tu datang kacau saya,” kata Willington berterus terang.

Wah, di Peru pun ada hantu?

Ya, memang ada. Di dalam perjalanan itu Willington menyambung ceritanya. Kata Willington, sewaktu kecil, bapanya Maximo Calderon, sering mengikut datuknya, Javier pergi menjual lembu dan kerbau sekitar Cusco. Ketika itu Cusco tidak sebesar dan sesibuk sekarang.

Suatu pagi, ketika menghela haiwan itu di sebatang jalan yang sunyi, tiba-tiba muncul satu lembaga hitam cuba menyerang mereka. Bapa Willington menjerit ketakutan, dia berlari mendapatkan bapanya itu.

Javier segera membuka tali pinggang dan melibas-libaskannya ke arah lembaga hitam tersebut. Akhirnya lembaga hitam setinggi tiga meter itu meninggalkan mereka dan lenyap begitu saja.


LEWAT petang, kami sampai di Cusco. Matahari beransur turun, langit menjadi gelap. Willington membawa kami menyusuri lorong-lorong kecil sekitar bandar itu, dan kemudian berhenti di Jalan Ataud.

“Ataud bermakna keranda. Sekarang saya mahu ceritakan kepada kamu semua kenapa jalan ini diberi nama Jalan Keranda,” katanya.

Cerita Willington, kedatangan Sepanyol dahulu bukan sekadar untuk menjajah, tetapi turut membawa bersamanya penyakit-penyakit baru yang tidak pernah dialami oleh warga Peru. Antaranya ialah demam cacar, campak dan malaria.

Ada kajian mengatakan jumlah penduduk Peru merosot lebih 90 peratus selepas kedatangan Sepanyol akibat kekejaman penjajah tersebut dan serangan penyakit tadi. Kematian berlaku setiap hari dalam jumlah yang tidak terkawal.

Ketika inilah suatu kejadian pelik berlaku. Di hujung bandar, para penduduknya sering melihat jelmaan sekumpulan manusia mengusung keranda di jalan dan lorong-lorong sekitar kawasan tersebut.

Jelmaan itu hanya muncul pada waktu malam dan dinihari sahaja, kemudian hilang bagaikan dibawa angin. Oleh kerana itu, jalan utama di kawasan berkenaan dinamakan sebagai Jalan Keranda (Ataud).


Di Cusco juga, sambung Willington, suatu ketika dahulu terdapat sebuah rumah yang sangat ditakuti. Rumah itu terbiar kosong, tetapi anehnya pada waktu malam, akan kelihatan ada orang yang menghuninya. Lampu terpasang sendiri, paip terbuka, kemudian terdengar suara orang bercakap, pinggan dicuci serta disusun, dan sebagainya. Tetapi apabila siang, ia kosong semula, kotor dan berselerak.

“Para penduduk kawasan itu tidak berani mendekati rumah tersebut. Malah pemilik rumah itu pun tidak berani tinggal di situ. Bagaimanapun, bukan semua orang percaya pada cerita-cerita hantu. Suatu ketika, ada sebuah keluarga yang datang menyewa rumah berkenaan. Mereka anggap cerita-cerita itu hanya rekaan semata-mata,” sambung Willington.

Malam-malam yang berlalu menyaksikan tiada satu pun jelmaan menakutkan yang muncul di rumah berkenaan. Sehinggalah pada suatu malam, ketika keluarga itu mengadakan majlis perkahwinan anak perempuan mereka.

“Malam itu, mereka dikejutkan dengan kemunculan jelmaan seorang pengantin perempuan tanpa kepala. Tubuhnya dipenuhi darah. Semua yang berada di dalam rumah itu bertempiaran lari. Hantu tanpa kepala itu kemudian merasuk pengantin lelaki. Dalam keadaan tidak sedarkan diri, pengantin lelaki itu telah mengambil sebilah pedang lalu memenggal leher pengantin perempuan. Setelah itu dia membunuh dirinya pula. Rumah tersebut khabarnya masih terbiar kosong sampai sekarang. Tiada siapa berani menyewanya kerana jelmaan-jelmaan menakutkan termasuk pengantin perempuan tanpa kepala akan muncul bila malam menjelma,” cerita Willington.

Di manakah rumah berhantu itu? Willington membawa kami ke sekitar kawasan tersebut, malangnya cukup sukar untuk mengesannya kerana terlalu banyak rumah di situ.




Sumber:https://utusantv.com/2023/11/09/ ... antin-tanpa-kepala/

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 22-12-2023 09:07 AM | Show all posts
best raline
Reply

Use magic Report

Post time 23-12-2023 11:57 PM From the mobile phone | Show all posts
Nak pi ke machu picchu kena pi bandat cusco ni ka?
Habiaq la sblm naik tgk ruins, kena hadap hantu2..
Reply

Use magic Report

Post time 16-1-2024 10:05 AM | Show all posts
bestnya kalau dapat menginap di hotel tu

tapi apa yang best di Peru ya
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-12-2024 09:21 AM GMT+8 , Processed in 0.044097 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list