CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 14916|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Demi keluarga Nur Farah Ashykin, Daniel sanggup bersanding sendirian

[Copy link]
Post time 21-1-2024 10:40 AM | Show all posts |Read mode

(GAMBAR kiri) Daniel bersama arwah isterinya, Nur Farah Ashykin. (Gambar kanan) Daniel diraikan pada majlis yang diadakan oleh keluarga mentuanya. FOTO ihsan TikTok Ewansani84

Kuala Lumpur: "Memang sedih momen masa dia ambil baju kahwin dan duduk di pelamin sendirian pada majlis itu."

Demikian kata Mohd Sharil Fahmi Mohd Saleh, 44, abang ipar kepada Daniel Probola yang bersanding seorang diri pada majlis perkahwinan yang diatur oleh keluarga arwah isteri Daniel, Allahyarhamah Nur Farah Ashykin Mohd Saleh pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, adik perempuannya itu meninggal dunia pada 7 Januari lalu akibat kanser limfoma selepas pulang ke tanah air bagi menjalani rawatan susulan barah yang dihidapi.

Bagaimanapun, adiknya bersama suami yang sebelum itu menetap di Jepun tidak dapat meneruskan majlis perkahwinan yang sudah dirancang pada 30 Disember lalu kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.



"Adik dan suaminya yang juga warga Amerika Syarikat (AS) sudah bernikah di Jepun ketika musim Covid-19 dulu. Cuma, mereka belum diraikan pada majlis perkahwinan di sini. Adik memang rancang nak buat majlis itu dan sudah tempah lokasi dan baju perkahwinan.

"Jadi selepas adik saya meninggal, saya ada berhubung dengan butik pengantin mengenai baju yang sudah ditempah. Atas persetujuan pemilik butik, saya dan suami arwah pun datang untuk mengambil baju pengantin.

"Sebenarnya kami sekeluarga berpakat mengadakan majlis makan-makan dan doa selamat pada 13 Februari depan tetapi memandangkan suami arwah akan pulang ke Jepun pada 14 Januari dan kami tidak pasti bila lagi dia akan datang ke Malaysia, itu yang kami terus buat majlis," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, majlis yang diadakan di rumah ibunya di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor itu lebih pada kenangan buat suami arwah adiknya.

"Memandangkan persiapan seperti bunga telur dan baju pengantin sudah ada, kami pun buat pelamin kecil-kecilan. Ia juga sebagai kenangan suami adik saya mengenai budaya dan adat perkahwinan Melayu di negara kita. Di samping menyampaikan hajat arwah adik saya yang tidak kesampaian itu.

"Suami arwah adik okay saja untuk dia bersanding cuma kami buat sedikit hantaran dan tepung tawar sebagai kejutan.

"Memang tujuan majlis itu untuk meraikan suami arwah adik selain nak memperkenalkan dia kepada saudara mara kami yang belum sempat dia temui," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga tidak mahu tunjuk kesedihan sepanjang majlis itu diadakan.

"Kami sekeluarga tidak mahu tunjukkan suasana sedih masa majlis itu dan tak nak dia berduka juga. Dia gembira dapat diraikan dan sangat menghargai atas usaha semua saudara mara dan keluarga yang menjayakan majlis itu," katanya.

Terdahulu, tular video seorang lelaki yang lengkap berbusana pengantin warna hijau emerald bersanding seorang diri di pelamin tanpa pengantin perempuan.

Video yang dimuat naik pengguna akaun TikTok Ewansani84 itu mencecah 1.2 juta tontonan.

Malah, turut tular video lelaki itu yang sedang mencuba pakaian yang sudah ditempah arwah isterinya yang dikongsikan oleh pemilik butik, Kutiqandaman.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ersanding-sendirian
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-6-2024 12:10 PM GMT+8 , Processed in 0.180220 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list