|
ARSENAL sedang membuat persiapan rapi menjelang aksi menentang Luton bagi mengelak tercicir sebarang mata pada aksi tersebut. - AFP
LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memberi ingatan kepada pemainnya supaya tidak mudah berasa selesa dengan perkembangan semasa pasukan.
Walaupun berjaya mengikat juara bertahan, Manchester City tanpa jaringan, keputusan itu tidak wajar dibanggakan secara keterlaluan bagi mengelak episod duka sama berulang seperti musim lalu.
Arteta menjelaskan para pemainnya harus mempamerkan peningkatan secara konsisten khususnya pada aksi menentang Luton Town awal pagi esok dan perlu mengecapi kejayaan bagi mengelak situasi pasukan makin sukar terutamanya selepas merelakan Liverpool kembali mendahului carta.
“Perasaan inilah yang saya rasakan setiap hari ketika berada di bilik persalinan. Sukar dipercayai apabila kali pertama dalam tempoh tiga tahun kami mampu mengekang mereka (Man. City) daripada menjaringkan gol di gelanggang mereka.
“Secara individu, kami patutnya mampu mempamerkan sesuatu yang lebih baik, begitu juga secara berpasukan. Kami sudah memulakan langkah, tetapi biarlah kami kekalkan perkara yang bagus dan terus pamer peningkatan.
“Kami mampu mencipta peluang, tetapi belum mampu menyempurnakannya dan hakikatnya adalah kami tidak memiliki ketenangan,” katanya.
Peluang The Gunners yang kini berada di tangga kedua untuk menebus kekecewaan musim lalu masih terbuka, namun tidak boleh lagi tercicir mata khususnya di tempat sendiri.
“Sekarang cabarannya adalah Luton yang saya anggap sebagai lawan yang sukar dan kamu pun tahu apa yang mereka sudah lakukan ketika menentang pasukan teratas. Kami memerlukan sokongan untuk mencipta suasana luar biasa dan kami pula akan cuba memenangi perlawanan,” jelasnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... isod-duka-berulang/ |
|