|
GUAN Yan (tengah) keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku tak salah merempuh motosikal ditunggang orang kelainan upaya (OKU) hingga meninggal dunia. FOTO Alias Abd Ran
Batu Pahat: Lelaki yang merempuh motosikal ditunggang orang kelainan upaya (OKU) hingga melambung sebelum menemui ajal dalam parit dekat Parit Sulong, Februari lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Lim Guan Yan, 24, yang bekerja sebagai pembantu kedai didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta dengan melulu hingga menyebabkan kematian Mohd Riduan Abdullah, 58, di Batu 21, Jalan Muar-Parit Sulong.
Kejadian itu berlaku pada 7 pagi, 27 Februari lalu dan dirakam menerusi kamera pemuka (dashcam) pengguna jalan raya menyebabkan sebelum tular di media sosial.
Berdasarkan laporan polis, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu tertuduh dari arah Muar menghala ke Parit Sulong cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Bagaimanapun, kereta itu gagal memotong lalu bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.
Mangsa kemudian melambung setinggi kira-kira lima meter sebelum terjatuh dalam parit dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap bulan sehingga kes selesai.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ku-hingga-melambung |
|