|
Shereen Samson Vallabouy ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy meraih pingat gangsa di Kejohanan Pure Athletics Sprint Elite di Florida, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.
Shereen, 25, mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 52.50 saat (s).
Dia berada di belakang pelari kelab Atlanta, Leah Anderson yang muncul juara dengan catatan masa 51.22s manakala Kaylin Whitney dari Star Athletics kedua (52.49s).
Catatan dilakukan Shereen itu bagaimanapun masih jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan miliknya 51.80s dan had kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, 50.95s.
Situasi itu menyaksikan masa semakin suntuk buat Shereen melepasi had kelayakan sebelum tarikh tutup pada hujung bulan depan.
Dia yang berpangkalan di Florida di bawah bimbingan jurulatih, Derrick White selepas ini dijadual menyertai kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee pada 31 Mei ini.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), John Ballard, berkata sekiranya Shereen gagal melepasi had kelayakan, dia masih boleh mengesahkan tiket menerusi kedudukan ranking kelayakan ke Paris.
"Dia ketika ini berada di kedudukan ke-74 kelayakan ke Olimpik Paris, dia perlu berada dalam kelompok 48 terbaik pada hujung Jun untuk layak.
"Dia akan menyertai satu lagi kejohanan di Amerika Syarikat sebelum pulang dan mengambil bahagian di Terbuka Malaysia di Kuantan, Pahang (14 hingga 16 Jun)," katanya.
Dalam pada itu, Shereen yang turut mengambil bahagian dalam acara 200m di Florida menamatkan saingan di tempat kelapan dengan catatan masa 23.64s.
https://www.bharian.com.my/sukan ... h-gangsa-di-florida |
|