|
CITY berdepan tekanan tinggi berdepan Spurs berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini selain Arsenal juga berjaya meraih kemenangan ke atas United. - AFP
MANCHESTER – Tugas sukar menanti Manchester City dalam usaha mereka memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila dijadualkan bertemu Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Tekanan pastinya dipikul juara bertahan itu memandangkan pencabar terdekat, Arsenal kembali berada di persada liga selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Manchester United awal pagi semalam.
Justeru, dengan baki dua lagi perlawanan musim ini, City wajib memenangi kedua-dua perlawanan tersebut bagi menafikan hasrat Arsenal untuk muncul juara buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Pengurus City, Pep Guardiola menggesa pemain-pemainnya supaya tidak terlalu mengharapkan Arsenal tercicir mata, sebaliknya berusaha sendiri bagi mengutip tiga mata berharga dalam setiap perlawanan.
“Sejak mereka (Arsenal) tewas kepada Aston Villa sebelum ini, nasib City terletak di tangan kami sendiri. Kami yang mengawal takdir pasukan, jadi kami tidak boleh kalah dalam dua perlawanan terakhir ini.
“Menjelang pertemuan dengan Spurs, kami menang sekali ke atas mereka musim ini dalam saingan Piala FA. Saya tahu ia akan menjadi satu perlawanan sukar, namun kami sudah bersedia dengan cabaran itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menaruh sepenuh kepercayaan terhadap barisan pemainnya untuk membawa pulang tiga mata walaupun berdepan tekanan cukup tinggi selepas kemenangan Arsenal ke atas United.
“Naluri saya mengatakan bahawa pemain-pemain City sudah bersedia untuk bermain dan berdepan tekanan. Saya fikir mereka memang gemar berada dalam tekanan berdasarkan karakter diri masing-masing,” ujar Guardiola. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... mula-rasai-tekanan/ |
|