|
Masa depan Erik Ten Hag (kiri) sebagai pengurus Manchester United masih menjadi tanda tanya. - Foto AFP
LONDON: Erik Ten Hag berkata dia tidak akan mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Manchester United selepas perlawanan terakhir mereka di laman sendiri musim ini, walaupun situasi tidak menentu terus membelenggu kedudukannya sebagai pengurus pasukan itu.
Ten Hag mengesahkan pemain dan staf akan mengambil bahagian dalam aksi terakhir di laman sendiri apabila menerima kunjungan Newcastle United di Old Trafford, awal pagi esok.
Namun, pengendali dari Belanda itu menegaskan bahawa ia bukan majlis perpisahannya, walaupun belum jelas sama ada dia akan kekal di kelab itu selepas musim panas.
"Selamat tinggal? Untuk saya? Ia tidak (berdasarkan) bagaimana saya merasainya dan bagaimana saya melihatnya," kata Ten Hag.
"Bukan cara saya untuk memulakan pusingan penghormatan itu untuk peminat, tidak. Mengharungi detik bagus dan sukar, kami bersama dan peminat menunjukkannya bahawa kami bersama."
Pemilik bersama United yang baharu, Sir Jim Ratcliffe masih belum membuat kenyataan umum mengenai masa depan Ten Hag dengan keputusan akan dibuat selepas perlawanan akhir Piala FA menentang Manchester City, 25 Mei depan.
Ten Hag berdepan musim yang buruk dengan ia akan menjadi penamat Liga Perdana terburuk buat United, namun pengendali berusia 54 tahun itu berkata dia masih mendapat sokongan majoriti penyokong.
"Sebenarnya ya," katanya. "Di stadium, di tempat lawan dan di laman sendiri, mereka sentiasa menyokong pasukan dan menyokong saya. Termasuk apabila saya berada di tempat awam, ramai yang datang kepada saya.
"Hampir tiada reaksi negatif, peminat memahami di mana kami berada. Peminat memahami kelab ini sedang dalam peralihan dan peminat memahami masalah besar yang kami terpaksa hadapi terutamanya di bahagian penting." - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... cap-selamat-tinggal |
|