|
CHRISTOPHER Nkunku (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO REUTERS
Brighton: Mauricio Pochettino berkata kebangkitan lewat Chelsea yang hampir pasti beraksi di pentas Eropah, adalah ganjaran yang wajar diterima atas kesabaran kelab itu sepanjang mengharungi musim sukar.
Skuad bimbingan Pochettino menang 2-1 di Brighton, awal pagi tadi untuk naik ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika berbaki satu perlawanan lagi.
Cole Palmer meletakkan mereka di hadapan apabila dia menanduk jaringan peribadi ke-22 dalam saingan liga musim ini pada minit ke-34.
Jaringan Christopher Nkunku pada minit ke-64 meletakkan Chelsea lebih selesa sebelum pemain pertahanan Blues, Reece James, dibuang padang kerana menendang pemain Brighton, Joao Pedro.
Danny Welbeck mengurangkan defisit pada masa kecederaan, tetapi Chelsea bertahan untuk memastikan kemenangan keempat berturut-turut pada saingan liga, kali pertama sejak Oktober 2022.
Dengan Newcastle tewas 2-3 kepada Manchester United dalam satu lagi perlawanan, Chelsea kini memintas Magpies.
The Blues akan mengesahkan tempat ke saingan Liga Europa musim depan jika mereka tidak tewas apabila menentang Bournemouth di Stamford Bridge pada Ahad ini atau jika Newcastle yang berada di tempat ketujuh gagal menang di Brentford.
"Kami berjaya memperbaiki keputusan dan prestasi. Kami berbincang mengenai kesabaran dan apabila anda membina sesuatu, anda memerlukan masa tetapi ia selalu dianggap alasan di kelab besar.
"Kami terus bekerja keras dan positif. Menamatkan kempen musim ini dengan keputusan terbaik adalah bagus untuk kelab.
"Liga Perdana adalah liga yang paling mencabar di dunia. Kredit kepada barisan pemain dan kami sememangnya berhak meraih kemenangan ini," kata Pochettino.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... a-akhirnya-berbaloi |
|