|
PENYERANG KDA, Syafiq Ahmad (dua dari kiri) mensia-siakan peluang terbaik untuk meledak gol penyamaan ketika tewas 0-1 kepada Selangor kelmarin. - SHIDDIEQIIN ZON
PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menganggap pemainnya harus menyalahkan diri sendiri selepas tewas 0-1 kepada Selangor FC pada aksi kedua Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya kelmarin.
Selepas dihidangkan dengan beberapa peluang terbaik, Nafuzi mengakui keputusan seri sudah memadai buat skuad Hijau Kuning, namun akhir terpaksa akur bahawa jentera serangannya masih lagi tumpul.
“Saya fikir keputusan seri adalah adil, tetapi Selangor manfaatkan peluang mereka dan kita tidak. Saya berbangga dengan komitmen ditunjukkan pemain bagi aksi malam ini (kelmarin).
“Namun apa yang penting adalah kita mencipta peluang kerana kalau kita tidak mencipta peluang, itulah yang saya risaukan.
“Tetapi memang dari segi penyudah itu, kita kena sempurnakan apatah lagi menentang pasukan seperti Selangor yang kita tidak akan dapat banyak peluang. Kita ada masa untuk menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.
Pada perlawanan itu, Red Giants yang turut melepaskan beberapa peluang terbaik menjadi pasukan lebih bertuah apabila memperoleh gol tunggal pada minit ke-85 menerusi Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau.
Ketika ini, KDA masih lagi tanpa sebarang mata selepas tiga mata yang diraih ketika menewaskan PDRM FC 1-0 minggu lalu terus ditolak kerana kelab itu dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh First Instance Body (FIB).
Jumaat ini, KDA akan menanti kunjungan Perak FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, manakala Selangor bakal bertandang ke Seremban menentang Negeri Sembilan FC pada Ahad.
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... ul-punca-kda-kalah/ |
|