|
SALIM (baju T merah) melihat kereta Naza Ria terbakar di Taman Bukit Perdana. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Allah nak uji saya kali ini, saya reda dan percaya ada hikmah di sebaliknya," kata Hasanuman Idris, 60, seorang daripada pemilik kenderaan yang musnah dalam kebakaran di Taman Bukit Perdana di sini, semalam.
Dalam kejadian pada 4.30 petang itu, sebanyak 22 buah kenderaan termasuk 17 motosikal yang parkir di garaj parkir kenderaan penduduk musnah.
Hasanuman mendakwa dia mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas sebuah kereta jenis Honda Fario, tiga buah motosikal Yamaha 125z, Yamaha 100 dan Modenas Kriss terbakar.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia sedang berniaga di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dekat Parit Raja sebelum menerima panggilan daripada jiran memaklumkan keretanya terbakar.
"Saya ingat kebakaran biasa lalu meminta jiran tolong padamkan api. Apabila jiran hantar gambar, saya terduduk seketika.
"Bayangkan, di garaj terbabit saya bukan sahaja parkir kereta dan motosikal tapi juga menyimpan barang niaga namun semuanya musnah sama sekali.
"Ada dua kereta sempat anak saya selamatkan jika tidak, habis semua kenderaan saya terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Hasanuman memberitahu, apa yang menyedihkannya ialah dia baru sahaja membelanjakan RM3,600 untuk menukar enjin baru kereta terbabit.
"Barang niaga saya letakkan di situ pun tidak sempat diselamatkan, habis semua rentung. Macam mana saya nak cari modal beli yang baru," katanya memberitahu tidak tahu dari mana punca api menyebabkan berlaku kebakaran.
Seorang lagi mangsa, Salim Sahari, 63, yang juga pesara tentera memberitahu ketika kejadian kebanyakan penghuni di taman terbabit keluar bekerja.
Menurutnya, beberapa penduduk taman cuba membantu memadam api namun gagal dan merebak ke kenderaan bersebelahan.
"Pada hari kejadian, majoriti yang ada di rumah adalah wanita, jadi mereka tidak berani keluar apatah lagi ada letupan seperti mercun terbakar.
"Garaj ini dibina lebih 15 tahun lalu dan dijadikan tempat parkir kereta penduduk di sini.
"Kejadian itu menyebabkan empat buah motosikal dan sebuah kereta Naza Ria musnah.
"Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa pun kerana api marak begitu cepat, tidak lama selepas itu bomba pun tiba.
"Kami tidak tahu api berpunca dari mana dan pihak bomba sudah mengambil sampel untuk menjalankan siasatan," katanya.
Lima daripada 17 buah kenderaan musnah dalam kejadian itu terdiri Naza Ria, Toyota Estima, Proton Waja, Honda Fario dan Perodua Alza.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat Ayub Majid berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.46 petang sebelum menggerakkan 19 anggota termasuk dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram ke lokasi.
Beliau berkata, dua buah jentera berserta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan juga'Rapid Intervention Motorcycle' (RIM) tiba di lokasi lima minit kemudian.
"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian namun punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan." katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mah-musnah-terbakar |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|