|
SYAHIR mempamerkan corak permainan lebih matang. FOTO Ihsan Persatuan Sepaktakraw Malaysia
Kuala Lumpur: Apit kanan negara, Mohamad Azlan Alias melihat persembahan tekong utama negara, Mohammad Syahir Rosdi semakin 'menggila' selain berjaya membawa perubahan begitu besar dalam skuad negara.
Jelas Azlan, sepanjang kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Syahir berjaya mempamerkan prestasi sangat konsisten melalui servisnya sehingga menyukarkan pihak lawan untuk mengangkat kembali bolanya itu.
"Dia bukan menggila sebab apa tetapi saya nampak dia sudah matang. Matang dari segi servis, sebelum ini orang mengata servis (Syahir) sangkut, tapi bila dia balik dari kejohanan Princess Cup (di Thailand) baru-baru ini, saya nampak servis dia lebih matang, dia boleh pelbagaikan (arah) bola itu. Bola tak sedap (lambungan untuk melakukan servis) pun dia boleh sedapkan, itu bagi saya permainan dia sudah matang," katanya.
Tambah pemain Melaka itu lagi, dia bersetuju bahawa kejohanan yang disertai oleh tekong kelahiran Pulau Pinang di Thailand itu memberi pengalaman cukup mahal sehingga ia boleh membantu meningkatkan prestasinya.
Ketika ditanya sekiranya ada mana-mana pasukan dari Thailand ingin mendapatkan khidmatnya, Azlan berkata, perkara itu perlu dilihat secara lanjut apatah lagi dia kini sudah berumah tangga namun sekiranya sudah ditakdirkan, dia tidak akan menolak perkara itu.
"Pendedahan dia di Thailand sangat baik kerana dia jumpa orang yang sama macam Siriwat Sakha, Sittipong Khamchan, dia boleh hadap. Itu memberi dia pendedahan awal dalam permainan.
"Kalau ada tawaran (dari kelab Thailand) dan persatuan lepas untuk pergi sana, saya pergi. Sebab dia perlu melalui persatuan juga," katanya.
Untuk rekod, di kejohanan Piala Dunia yang baru tamat minggu lepas, Azlan berjaya meraih satu pingat emas dan satu perak apabila muncul juara dalam acara regu selepas menewaskan Thailand di pentas final dan naib johan bagi acara regu berpasukan apabila tewas kepada lawan yang sama.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ir-semakin-menggila |
|