CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8557|Reply: 0

[Tempatan] Guan Eng minta Bersatu, Umno jangan politikkan isu Program Dwi Bahasa (DLP)

[Copy link]
Post time 7-6-2024 08:49 AM | Show all posts |Read mode
Guan Eng minta Bersatu, Umno jangan politikkan isu DLP

https://www.malaysiakini.com/news/707961

Wong Kang Jia
Diterbitkan:  Jun 6, 2024 9:43 PM
Dikemaskini: 9:43 PM



Pengerusi DAP, Lim Guan Eng membidas Bersatu dan Pemuda Umno kerana mempolitikkan Program Dwi Bahasa (DLP) untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Dia berkata adalah tidak adil apabila Bersatu menggambarkan sekolah menengah Cina di Pulau Pinang memainkan isu 3R (kaum, raja, agama), sedangkan rungutan mereka adalah mengenai isu pendidikan.

Tambahnya, bertentangan dengan laporan media tertentu, pihak sekolah tidak menentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Semalam, portal Buletin TV3 melaporkan bahawa lembaga pengarah dan persatuan ibu bapa dan guru 11 SMJK dan sekolah menengah Cina di Pulau Pinang mengadakan sidang media untuk menyatakan bantahan mereka terhadap penggunaan bahasa Melayu di dalam bilik darjah.

Portal itu bagaimanapun menarik balik artikel itu dan mengeluarkan permohonan maaf atas kesilapan mereka tengah hari tadi.

Pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini, Lim berkata dia telah menghubungi pengerusi lembaga sekolah SMJK Chung Ling, Koay Hean Eng malam tadi berhubung laporan tidak tepat berkenaan.

Koay dilaporkan bercakap bagi pihak 11 SMJK dan sekolah Cina semasa sidang media mereka semalam.



Lim berkata Koay mengesahkan kepadanya bahawa sekolah-sekolah berkenaan hanya mendesak Kementerian Pendidikan membatalkan arahan yang mewajibkan mereka mengadakan sekurang-kurangnya satu kelas mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

"Beliau (Koay) adalah pengerusi lembaga pengarah. Beliau tidak menentang mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

"Beliau hanya meminta bahawa isu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris seperti dilaksanakan sebelum ini iaitu zaman kerajaan Muhyiddin (Yassin). Sekiranya ibu bapa mahukan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris maka mereka dibenarkan belajar dalam bahasa Inggeris.

"Tidak ada syarat-syarat yang diperlukan.

"Tidak ada syarat bahawa satu kelas mesti dalam bahasa Malaysia dan beliau sebut bahawa ini menimbulkan masalah kerana banyak, hampir semua mahu belajar dalam bahasa Inggeris," katanya.

‘Biarkan ibu bapa buat pilihan’

Lim menambah, bukan sahaja ibu bapa Cina yang memilih anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, tetapi juga sebilangan besar ibu bapa pelajar Melayu.

Lim juga menegaskan, tidak seperti pendirian Bersatu sekarang, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah sebelum ini menyokong langkah membenarkan ibu bapa memilih bahasa untuk pengajaran Matematik dan Sains anak-anak mereka.

Dia turut memainkan klip video perbahasan di parlimen pada 5 Mei untuk mengesahkan dakwaan tersebut.



Video itu menunjukkan Lim menggesa Kementerian Pendidikan membenarkan ibu bapa memilih bahasa bagi pembelajaran Sains dan Matematik untuk anak-anak mereka, yang turut mendapat sokongan daripada Saifuddin.

"Jadi saya minta baik daripada Bersatu yang keluarkan kenyataan harap mereka boleh rujuk kepada Saifuddin Abdullah, iaitu menteri kanan kerajaan lama dan sekarang adalah salah seorang pemimpin utama dalam Bersatu.

"(Biarlah) Diajar tanpa had iaitu tanpa gangguan. Seperti yang beliau sebut tadi. Teruskan supaya biar ibu bapa buat pilihan dan keputusan.

"Sekiranya ibu bapa mahukan anak-anak mereka belajar dalam bahasa Inggeris, biarkan mereka belajar dalam bahasa Inggeris seperti yang kita sebut tadi semua pun setuju.

"Sebilangan besar ibu bapa adalah daripada kaum Melayu, jadi, ini bukanlah isu 3R. Itu adalah isu pendidikan,” katanya.

Guan Eng juga menggesa Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh supaya tidak mempolitikkan isu tersebut.

Dia menjelaskan bahawa semasa Umno berada dalam kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin, Pemuda Umno tidak menentang DLP tetapi kini menyatakan bantahan mereka.

"Tapi sekarang bila mereka (ibu bapa) meminta kaedah lama dilaksanakan, tidak perlu ada syarat di mana ada salah satu kelas mesti dalam bahasa Malaysia.

"Beliau (Akmal) sekarang pula naik angin. Mengapa pada masa itu beliau tidak menentang, membantah.



“Saya nak tegaskan sekali lagi. Ini bukan isu menentang bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar. Tidak. Jauh sekali.

“Kami berharap mereka ini tidak akan mempolitikkan pendidikan tetapi harus mendemokrasikannya. Mendemokrasikan pendidikan bermakna menghormati pilihan ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memberitahu sidang media yang sama bahawa pegawai, timbalan atau menteri pendidikan perlu turun padang untuk emrangka dasar yang lebih baik.

"Jadi saya nak menyuruhlah sama ada pihak menteri, timbalan menteri, KSU dan ketua pengarah dan sebagainya turun padang, adakan libat urus dengan sekolah-sekolah yang sekarang keluar mengadakan bantahan.

"Kerana memang susah bagi guru besar cukup susah nak aturkan pelajar dalam kelas yang khas yang diajar dalam bahasa Malaysia itu.

“Perkara seperti ini haruslah dipermudahkan. Tapi apa yang berlaku sekarang ialah pihak kementerian menyusahkan sekolah-sekolah dan juga ibu bapa-ibu bapa berkenaan,” katanya.

Semalam, wakil dari 11 SMJK dan sekolah menengah Cina di Pulau Pinang mendakwa pekeliling Kementerian Pendidikan bertarikh 15 April mewajibkan mereka mengadakan sekurang-kurangnya satu kelas mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, tetapi hampir tiada pelajar menyertai kelas tersebut.

Sehubungan itu, mereka menggesa kementerian membatalkan arahan tersebut dan membenarkan mata pelajaran itu diaajr dalam bahasa Inggeris di bawah DLP sebelum ini.

Kumpulan itu juga mendakwa arahan itu mengabaikan kehendak ibu bapa dan bertentangan dengan niat asal DLP, iaitu untuk mengukuhkan pengetahuan pelajar dalam bidang Sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik (Stem).

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mengecam kumpulan itu kerana seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan Bahasa Malaysia di negara ini.

Sementara itu, Akmal turut menyuarakan sokongan terhadap pekeliling Kementerian Pendidikan yang memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-6-2024 02:47 AM GMT+8 , Processed in 0.064436 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list