CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7863|Reply: 1

[Tempatan] Scam ayam: Hajat infak tapi 'tersontot' RM300,000

[Copy link]
Post time 7-6-2024 09:47 AM | Show all posts |Read mode
Scam ayam: Hajat infak tapi 'tersontot' RM300,000

https://www.malaysiakini.com/news/707972

Haspaizi Zain
Diterbitkan:  Jun 7, 2024 9:00 AM
Dikemaskini: 9:00 AM



Tertarik dengan manfaat seumur hidup mendorong pesara swasta "menginfakkan" duit simpanan sebanyak RM300,000 bagi projek ternakan ayam kampung yang dikendalikan sebuah organisasi yang beroperasi di utara tanah air.

Namun malangnya, dengan harapan untuk hidup dengan tenang selepas bersara dan menikmati kehidupan selepas pencen, pesara ini terpaksa kembali bekerja selepas manfaat yang diharap daripada pelaburan tidak menjadi kenyataan.

Menceritakan perkara itu, anak kepada pesara berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mr H berkata ayahnya kini terpaksa melakukan pelbagai kerja kampung demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya cukup terkilan dengan apa yang berlaku, ayah menghabiskan RM300,000, akhirnya kena 'scam' kepada penggerak projek ternakan itu.



"Siapa yang tak tertarik, jika infak dalam program ini dapat manfaat seumur hidup.

"Sumbang (labur) RM250, dapat manfaat RM13 setiap bulan sepanjang hayat, mungkin di sini ayah menganggapnya sebagai pelaburan persaraan," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malaysiakini telah menghubungi organisasi berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ini.

Menurut Mr H, segalanya bermula apabila bapanya yang tertarik dengan ajakan rakan hadir ke majlis taklimat organisasi berkenaan mengenai projek ternakan ayam kampung.

Labur duit KWSP, RM350k lebur

"Tapi malangnya, selepas dua bulan terima manfaat, kini diam begitu sahaja, dua bulan saja manfaat diterima. Sekarang ayah yang sepatutnya menikmati kehidupan sebagai pesara terpaksa buat kerja kampung.

"Ayah saya infak pada Jun 2023, Ogos 2023 sudah tidak dapat manfaat lagi, ‘tersontot’ (terkena tipu) sudah," katanya.

Menurut Mr H lagi, apabila didesak oleh peserta, wakil pengurus projek itu memberi alasan pihaknya sedang menguruskan sistem manfaat baru yang boleh ditebus pengguna.

Namun, sehingga kini Mr H berkata mereka yang terlibat tidak lagi menerima apa-apa manfaat berkait projek berkenaan.



Malah, difahamkan projek ternakan ayam kampung berkenaan juga tidak wujud melainkan pihak berkenaan hanya "pusing" modal yang 'diinfakkan' peserta.

Seorang lagi mangsa, pesara swasta yang mahu dikenali sebagai Jamil pula mendakwa dia telah "melabur" sebanyak RM350,000 duit KWSP bagi tujuan persaraan untuk tujuan itu.

"Yalah siapa yang tidak teruja, apatah lagi diuruskan oleh orang Melayu sendiri. Bahkan saya lihat dia semakin senang dan saya beranggapan projek ini berjaya.

"Oleh itu saya ambil keputusan untuk melabur ataupun menyertai projek ini. Macam kawan-kawan yang lain selepas dua bulan kami tak dapat apa-apa manfaat lagi.

Lebih 50 laporan polis dibuat

"Bila ditanya mereka kata tukar dalam bentuk mata ganjaran dan boleh ditebus di kedai mereka.

"Masalahnya mata ganjaran itu tak ada dan kedai mereka hanya ada dua buah saja di Semenanjung Malaysia, macam mana nak tebus," katanya kepada Malaysiakini menjelaskan dia sedang berusaha mendapatkan kembali wang yang telah dilabur daripada organisasi berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Aisyah berkata mangsa bukan hanya pesara tetapi penjawat awam juga ramai "terkena" dengan projek ini.

"Ramai yang menjadi mangsa kepada projek ini termasuk kakitangan awam yang melabur dan akhirnya lebur begitu saja.



"Malah, ada yang telah meletak jawatan kerana mengharapkan manfaat daripada projek berkenaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, para peserta projek ternakan ayam kampung tersebut difahamkan telah membuat lebih 50 laporan polis menggesa tindakan tegas terhadap organisasi berkenaan.

Seorang peserta yang hanya mahu dikenali Jalil berkata sehingga kini pihaknya belum dipanggil oleh pihak polis untuk tujuan siasatan.

"Lebih 50 laporan polis telah dibuat di seluruh negara, tapi masih belum ada tindakan, kita amat berharap pihak polis segera menyiasat perkara ini.

‘Diugut jangan lapor polis’

"Kerana ini melibatkan wang orang awam yang saya kira telah mencecah jutaan ringgit," katanya.

Jalil turut mendakwa peserta diugut oleh pihak yang menguruskan projek ternakan ayam kampung itu bahawa wang mereka tidak akan dipulangkan jika membuat laporan polis.

Malaysiakini telah menghubungi polis Bukit Aman bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ini bagaimanapun masih belum menerima maklum balas lanjut.

Mengulas lanjut, Jalil mendakwa ‘dalang’ yang mengendalikan projek ayam kampung berkenaan kini mampu hidup mewah, dengan memiliki kediaman dan beberapa buah kereta.



Menurutnya, organisasi yang mengendalikan projek ternakan ayam kampung itu aktif mencari ahli ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu.

"Ketika itu kerajaan memberi kebenaran untuk mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Jadi, mereka gunakan untuk merekrut peserta.

"Bayangkan kalau seorang peserta melabur RM1,000, jika ada 44,000 peserta sudah RM44 juta dikutip.

"Kalau dikira sampai ke tahun ini mungkin sudah mencecah ratusan juta," dakwanya.

Kata Jalil kumpulan berkenaan juga turut menggunakan media sosial bagi menarik penyertaan orang ramai.

Tambahnya lagi, aktiviti kumpulan berkenaan merekrut orang ramai menyertai mereka masih berlaku sehingga kini.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 7-6-2024 09:51 AM | Show all posts
perangai scammer mmg sial, dah salah ugut supaya tak lapor pada pihak berkuasa.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-6-2024 02:44 AM GMT+8 , Processed in 0.051575 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list