![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/06/genting.jpeg)
Antara gambar yang dikongsi Nur Najihah memaparkan keadaan Genting Sky Avenue yang dilaporkan terbakar petang ini.
PETALING JAYA – Lebih 5,000 pengunjung dan para pekerja panik serta terkejut apabila pusat beli-belah Genting Sky Avenue dilaporkan terbakar kira-kira pukul 4.50 petang tadi.
Difahamkan pihak bomba telah sampai ke lokasi kejadian dan sedang giat memadamkan api kebakaran.
Menurut salah seorang pekerja, Nur Najihah Abdul Halim, 26, semua pengunjung termasuk para pekerja diarahkan untuk keluar bagi memastikan keadaan terkawal.
Ujarnya, buat masa sekarang, semua pengunjung sedang berkumpul di kawasan lapang iaitu di tempat parkir bas sehingga pengumuman lanjut diberitahu.
“Kira-kira lebih 5,000 pelancong terpaksa keluar dan menunggu arahan seterusnya. Kami para pekerja pun perlu menutup semua kedai.
“Perkhidmatan kereta kabel pun terpaksa dihentikan buat sementara. Buat masa ini kami diarahkan untuk berada jauh dari bangunan dan masih menunggu arahan selanjutnya,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!
Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran masih belum diketahui.
Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE.