CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11102|Reply: 0

[Kedah] 2 beradik terkorban nahas jalan raya pulang dari memancing

[Copy link]
Post time 16-6-2024 04:07 PM | Show all posts |Read mode
2 beradik terkorban nahas jalan raya pulang dari memancing


Zuliaty Zulkiffliam@hmetro.com.my




Zulqarnain dan Firashi yang maut dalam kemalangan di Jalan Teroi Titi Lahar. FOTO Zuliaty Zulkiffli





Sik: Kehilangan serentak dua anak lelaki yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Teroi Titi Lahar di Yan malam tadi menjadikan sambutan Hari Raya Aidiladha, esok suram bagi seorang bapa.

Mohd Delmi Mat Isa, 54, berkata dia berjanji dengan Ahmad Firashi Mohd Delmi, 11, untuk membawanya menggunting rambut petang semalam untuk persiapan menyambut hari raya itu.

Katanya, kejadian yang menimpa Ahmad Firashi dan abangnya, Muhammad Zulqarnain, 22, ketika ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memancing di Sungai Dedap, Yan.

"Malah kakaknya (Nurin Afiqah, 23) juga berjanji hendak membawa Ahmad Firashi ke Pekan Jeniang petang semalam untuk membeli barangan kelengkapan raya.

"Namun tak sangka kemalangan itu berlaku sehingga meragut nyawa dua anak saya itu malah nak sambut raya esok pun dah tak semangat kerana saya kehilangan mereka buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Charuk Tala, Jeniang, di sini hari ini.

Mohd Delmi yang juga pemandu bas persiaran berkata, kemalangan yang berlaku itu amat perit untuk diterima kerana mereka sedang melakukan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha tetapi diuji dengan takdir yang berat itu.

Katanya, meskipun reda dengan apa yang berlaku, namun sebagai bapa sudah pasti kehilangan mereka berdua memberi kesan kerana semua ahli keluarga yang amat menyayangi mereka.

"Kali terakhir saya bertemu dengan dua anak saya itu pada jam 10 pagi semalam iaitu sewaktu Muhammad Zulqarnain dan Ahmad Firashi sedang bersiap untuk pergi memancing.

"Saya agak terkilan kerana gagal menghalang mereka untuk pergi memancing disebabkan Ahmad Firashi masih demam," katanya.

Mohd Delmi berkata, anak ketiga dan kelima dari enam beradik itu memang rapat dan dia serta isterinya, Siti Nur Zakaria, 47, masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Katanya, mereka mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan seorang rakan yang datang ke rumahnya selepas solat Maghrib malam tadi memaklumkan dua anaknya terbabit dalam kemalangan itu.

"Saya terus ke Unit Forensik Hospital Yan dan untuk melihat keadaan dua anak kami dan saya serta isteri hampir pengsan sebaik melihat jenazah dua anak kami yang sudah kaku ketika itu," katanya.

Mohd Delmi berkata, jenazah dua anaknya itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al-Maarifi, Jeneri, di sini pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan, dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios dalam kemalangan di Jalan Teroi Titi Lahar, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 8.30 malam itu, Muhammad Zulqarnain dan Ahmad Firashi menaiki motosikal jenis Honda RS-X.

Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit yang berusia 61 tahun pula cedera di bahagian dada.



Disiarkan pada: Jun 16, 2024 @ 3:33pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-6-2024 12:28 PM GMT+8 , Processed in 0.102148 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list