Nibong Tebal: Depot Tahanan Imigresen di Jawi, di sini, kini mencapai tahap 98 peratus siap bagi menggantikan Depot Tahanan Juru yang uzur dan tidak selamat diduduki.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan depot termasuk kuarters bernilai RM77.5 juta di atas tanah berkeluasan enam hektar itu sepatutnya siap pada 8 Mei 2022 selepas kerja-kerja pembinaan bermula pada 27 Mei 2019.
Bagaimanapun katanya, projek itu diberikan tiga kali penangguhan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, kemajuan projek sudah mencapai 98 peratus siap dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya 28 Julai ini.
"Skop projek ialah pembinaan rumah pam dan tangki sedut, selain penyediaan jajaran retikulasi air sepanjang dua kilometer bagi mengatasi isu tekanan air rendah di Jawi yang menjejaskan bekalan air di kawasan penjara dan Taman Widuri.
"Projek (paip) ini pula menelan kos RM5.78 juta, juga melalui tender terbuka dengan jumlah keseluruhan bagi kedua-dua projek adalah RM83.28 juta," katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan projek berkenaan, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, pembinaan depot itu di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) Rolling Plan Pertama bertujuan menyediakan pusat tahanan pendatang asing yang kondusif serta boleh menampung kapasiti yang diperlukan dan memiliki ciri-ciri kawalan keselamatan.
"Projek ini bakal menggantikan Depot Tahanan Imigresen Juru (sedia ada) yang dibina pada 1976 di mana depot itu telah uzur dan tidak selamat untuk diduduki.
"Secara purata, depot Tahanan Imigresen Juru mempunyai kapasiti untuk 500 tahanan meliputi 350 tahanan lelaki dan 150 tahanan wanita.
"Bagaimanapun, kapasiti itu dapat ditingkatkan dengan siapnya depot baharu ini yang mana mampu menampung 834 tahanan lelaki dan 324 tahanan wanita," katanya.
Katanya, depot itu turut menyediakan tempat tinggal pegawai berhampiran tempat kerja sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan masa tindak balas pantas bagi menangani sebarang isu sekiranya berlaku kekecohan.