Kulim: Seorang pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadikan minat menyimpan pelbagai barang-barang antik sebagai hobi bagi mengisi masa terluang.
Che Ani Abdul Hamid, 73, yang menetap di Sedim, di sini, berkata rumahnya kini ibarat 'muzium mini' dengan kehadiran pelancong dalam dan luar negara bagi melihat barangan antik yang disimpannya sejak 40 tahun lalu.
Menurutnya, paling menarik adalah enam basikal antik yang digunakan ketika penjajahan Jepun selain motosikal antik yang pernah menjadi kegilaan pada 1980-an dulu.
"Semua basikal itu saya beli daripada rakan dengan harga sekitar RM5,000 sebuah, tetapi saya beli sedikit demi sedikit hanya untuk hobi.
"Selain itu, tiga beca antik juga saya simpan dan dibeli dengan harga RM7,000.
"Kalau orang tengok hobi ini, mungkin orang kata buang duit, tetapi saya memang minat nak simpan semua barangan antik sebab susah nak jumpa sekarang," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Che Ani yang mesra dipanggil Pak Long berkata, dia turut menyimpan wang kertas dan duit syiling lama dari beberapa negara dan paling lama tahun 1941 sebagai kenang-kenangan.
Menurutnya, apabila terkenang zaman muda dahulu, barangan antik itu menjadi tempat dia melepaskan rindu.
"Saya turut menyimpan jam dan bekas lampu gasolin yang disimpan sejak 30 tahun lalu yang dipamerkan di ruang tamu hadapan rumahnya.
"Kalau sesiapa pun datang, tak kiralah pelancong luar atau tempatan sekali pun, saya akan keluarkan semuanya untuk diceritakan sejarah semua barangan itu.
"Buat masa ini, semua barangan itu saya tak jual kerana masih sayang walaupun ada yang hendak membelinya dengan harga tinggi," katanya.
Menurutnya, selain itu dia turut menyimpan mesin ais kacang antik, radio lama, seterika arang, batu giling dan banyak lagi barangan antik di rumahnya itu.
Katanya yang mempunyai dua inap desa, sebelum ini dia menetap di Cheras, Kuala Lumpur tetapi pulang ke kampung bersama isterinya, Norsalina Ismail, 59.