SUNGAI PETANI: Sekurang-kurangnya 21 kakitangan kilang pembuatan sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Bakar Arang di sini, dikejarkan ke hospital akibat kebocoran bahan kimia (ammonia) hari ini.
Kejadian berlaku kurang 24 jam selepas 17 pekerja kilang sama dilapor mengalami pedih mata dan pening kepala termasuk seorang pengsan akibat terhidu bahan kimia sodium hypochlorite, semalam.
Berdasarkan maklumat, semua yang dikejarkan ke hospital itu dilapor mengalami muntah dan sesak nafas.
Komander Operasi Kanan Zon 2 Sungai Petani, Johari Bar Azwar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.01 pagi hari ini sebelum 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dikejarkan ke lokasi.
Terdahulu, katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima maklumat mengenai tumpahan bahan kimia di kawasan kilang berkenaan.
Anggota bomba melakukan pembersihan di sebuah kilang di Bakar Arang susulan kejadian kebocoran bahan kimia.. - Foto ihsan Bomba
"Sebaik tiba 21 mangsa dipercayai pekerja kilang mengalami sesak nafas dan muntah, sebelum mereka dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.
"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Kulim Hi-Tech yang tiba di lokasi membantu mengenal pasti bahan kimia terbabit dan melakukan pengalihan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pengsan, manakala 16 lagi pedih mata dan pening kepala akibat tumpahan bahan kimia kira-kira jam petang di sebuah kilang perindustrian di Bakar Arang, di sini, semalam.