SUNGAI BAKAP - Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Kompleks Rakan Muda Jawi, dibuka sehingga 9 malam 6 Julai nanti.
Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Hasmiza Hussin berkata, pusat media yang dibuka bawah Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) bermula hari penamaan calon, 22 Jun lalu sehingga hari pengundian, Sabtu ini.
Menurutnya, ia beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 9 malam bertujuan memberi kemudahan kepada pengamal media menjalankan tugasan lapangan dengan lebih selesa dan kondusif.
"Pusat media kali ini juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pengoperasian pusat media tersebut di Kompleks Rakan Muda Seberang Perai Selatan, pada Selasa.
"Ia boleh memuatkan seramai 40 orang petugas media secara serentak dengan capaian internet berkelajuan tinggi iaitu 800Mbps yang membolehkan tugasan laporan berjalan lancar.
"Tidak hanya menyediakan kelengkapan dan peralatan yang diperlukan, petugas media juga disediakan makanan dan minuman ringan selain petugas kementerian atau jabatan yang mesra membantu rakan media mendapatkan maklumat di lapangan," katanya.