SUNGAI PETANI: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membentang kertas kerja kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) keberadaan unsur nadir bumi di negara ini yang sesuai untuk diteroka.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata lokasi itu hanya diketahui melalui kajian dan anggaran kawasan sahaja.
"Susulan Mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-3 semalam dan sebelum itu mesyuarat kita adakan dengan pihak Kementerian Ekonomi, MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan juga MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), satu kertas akan dibawa oleh NRES ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
"Soal dia bagaimana kita nak memastikan pertama ialah 'mapping' (pemetaan), kita ada banyak survey (kajian) dan anggaran tetapi nak tengok betul-betul di mana lokasi untuk sesuai untuk dieksplorasi (diteroka)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di kawasan perindustrian di di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata ketika ini beberapa syarikat sudah menunjukkan minat untuk memproses unsur nadir bumi bukan radioaktif di Kenering, Hulu Perak.
"Di peringkat pengeluaran kita sudah ada di Kenering, Perak. Kita dalam proses perbincangan (dengan syarikat yang berminat) untuk membuat pemprosesan, Jadi kita tengah tengok bagaimana cara terbaik.
"Mereka pun ada beberapa permintaan sebab ini bukan pelaburan RM20, RM30. Ini pelaburan besar. Mereka nak dapat beberapa jaminan daripada pihak kerajaan. Jadi, kita sedang nilai permintaan mereka," katanya.
Beliau berkata, selain memastikan negara mendapat hasil secara kasar, kementerian turut akan memastikan sebahagian bahan mentah mineral itu dapat diproses di negara ini secara lestari, termasuk pengurusan sisa bahan itu bagi mengelak sebarang pertikaian pada masa akan datang.
Katanya, penggunaan teknologi bersesuaian juga perlu dipertimbang.
"Pada masa ini Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) memproses nadir bumi, namun ia berbeza dengan bahan mineral yang terdapat di negara kita.
"Lynas banyak 'cater' (proses) kepada nadir bumi daripada Australia. Jenis dia lain sikit. Kita masih dalam perbincangan (proses nadir bumi). Rancangan nanti kita akan tengok di MTEN," katanya.
Ketika ditanya mengenai REE di Kedah, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk pengeluaran sudah dikeluarkan, dan beliau berharap ia tidak akan mengganggu ekosistem hutan simpan di negeri ini.