SUNGAI BAKAP - NAFAS Food Processing and Marketing Sdn Bhd (NFPMSB) menyasarkan mampu membekalkan 50 tan metrik setahun ayam proses kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Muhammad Faris Arriffin berkata, ia bagi menampung aktiviti jualan ayam proses kepada penduduk di sekitar Pulau Pinang dengan harga lebih rendah dari pasaran.
Menurutnya, sebagai permulaan, NFPMSB akan membekalkan sebanyak dua tan metrik ayam proses sebulan dan akan meningkat mengikut pasaran semasa.
"Seperti yang diberitahu, FAMA masih lagi dalam proses mengenal pasti kuantiti jualan dari masa ke semasa bergantung permintaan pasaran," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau hadir menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara NFPMSB dan FAMA di Jualan Agro Madani, Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Khamis.
Mou bertujuan menjalinkan kerjasama lebih erat antara NFPMSB dan FAMA.
Mou ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif NFPMSB, Zamani Salim dan Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nurulhuda.
Hadir sama menyaksikan MoU termasuk Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Segar FAMA, Shahrizan Sudiman, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dan Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli.
Menurut Muhammad Faris, kerjasama antara kedua-duanya telah bermula sejak 2023 namun dengan termeterai MoU dapat menjalin kerjasama lebih erat dalam usaha memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk.
"Kita harapkan FAMA Pulau Pinang menjadi pelopor kepada perjanjian usahasama ini di mana dengan sambutan baik mungkin akan diteruskan ke negeri lain.
"Di samping membantu penduduk Pulau Pinang mendapatkan bekalan ayam dengan harga lebih rendah di pasaran, kami juga ingin membantu FAMA dari segi sumber ayam dengan harga berpatutan supaya harga ayam yang ditanggung agensi kerajaan dapat dikurangkan,"katanya.
Selain itu, katanya, NFPMSB turut menawarkan khidmat nasihat kepada FAMA berkaitan polisi, dasar, dan garis panduan serta perkara berkait industri ayam di Malaysia.