NIBONG TEBAL: Pelaksanaan projek menaik taraf sistem bekalan air bersih bernilai RM6.15 juta sejak 28 Februari tahun lalu di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) kini mencapai kemajuan 83 peratus dan dijadualkan siap Ogos ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata antara skop projek berkenaan ialah pembinaan tangki air berkapasiti 1.59 juta liter, tangki sedutan 795,000 liter, rumah pam dan kerja-kerja elektrik serta mekanikal berkaitan.
Beliau berkata pembinaan tangki air keluli bercantum kaca dengan ketinggian 30 meter itu dapat menampung keperluan 3,900 penghuni serta warga kampus USM Nibong Tebal.
"Isu tekanan bekalan air yang rendah di bawah nilai 14psi (per inci persegi) sejak 10 tahun lalu adalah punca utama projek ini dilaksanakan untuk memastikan isu tersebut dapat diselesaikan.
"Projek milik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di kawasan kampus seluas 147 hektar itu telah mendahului jadual sebanyak 0.5 peratus," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek berkenaan di sini, hari ini.
Ahmad Maslan turut berharap keseluruhan projek itu dapat disiapkan lebih awal sekali gus menepati kualiti dan kos ditetapkan selain pihaknya turut menghargai kepercayaan diberi KPT dalam menyiapkan infrastruktur pendidikan tinggi di negara ini.