NIBONG TEBAL - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati pengundi agar merancang perjalanan mereka sebaiknya pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di sini, pada Sabtu.
MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan ini berikutan cuaca diramalkan hujan di kawasan pengundian pada sebelah pagi, manakala akan berlaku ribut petir pada sebelah petang sebelum cuaca kembali baik pada waktu malam.
Pengundi boleh mendapatkan informasi mengenai cuaca terkini dengan pantas dan tepat melalui media sosial rasmi dan laman sesawang MetMalaysia
www.met.gov.my atau menerusi aplikasi MyCuaca di Google Play dan App Store.
Esok, pengundian bagi PRK berkenaan bermula pada 8 pagi hingga 6 petang di sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.
PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama