NIBONG TEBAL: Seramai 39,151 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, hari ini.
Sebanyak sembilan pusat mengundi membabitkan 65 saluran dibuka mulai jam 8 pagi hingga 6 petang sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, di sini.
Secara keseluruhan 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Duri pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
Bagaimanapun, PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.
PRK berkenaan yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu, akibat keradangan dalam perut.
Bagi dua calon bertanding itu, hanya Abidin yang akan mengundi hari ini di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri, di sini, memandangkan Joohari merupakan pengundi di DUN Sungai Acheh, satu daripada DUN dalam Parlimen Nibong Tebal selain Sungai Bakap.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Duri pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
Kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, selepas menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Ini adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dengan yang pertama diadakan di Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) disusuli DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor), DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak), Parlimen Kemaman (Terengganu) dan DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor). – BERNAMA