Sungai Petani: Tindakan seorang lelaki mencuri sebuah kereta Honda City ternyata sia-sia apabila kereta itu terbabas ke dalam sungai, di Taman Lurik Indah, di sini, hari ini.
Suspek berusia 38 tahun kemudian itu ditahan pemilik kereta itu ketika hendak keluar dari kereta terbabit, dan menyerahkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu disedari pemilik kereta berusia 27 tahun itu selepas mendapati kenderaannya hilang.
Beliau berkata, ketika itu, pemilik dikatakan sedang menurunkan barang masuk ke dalam rumahnya di Taman Sutera Jaya, di sini pada jam 2.30 petang tanpa mematikan enjin.
"Pengadu bagaimanapun terkejut apabila mendapati kereta miliknya itu sudah tiada dan disyaki dicuri.
"Dia kemudian mencari kereta berkenaan sebelum menemuinya di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
"Ketika itu dia ternampak suspek keluar dari kereta itu dan terus menangkapnya dan menyerahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, ketika itu tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) ditemui di tempat kejadian dan tiada saksi yang ternampak kejadian itu.
Beliau berkata, suspek ditangkap semula oleh anggota unit kereta peronda (MPV) polis, jam 4 petang.
"Kerugian kejadian itu dianggarkan RM70,000 dan suspek yang juga penganggur itu memiliki satu rekod jenayah dan dua rekod narkotik.
"Ujian saringan air kencing terhadap suspek negatif dadah.
"Hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku bersama rakan sepenjenayah yang masih bebas mencuri kereta pengadu yang didapati enjin masih dihidupkan ketika meronda dengan menaiki sebuah motosikal di kawasan taman berkenaan," katanya.
Wan Azharuddin berkata, bagaimanapun kereta terbabit dipercayai terbabas ke dalam sungai dan rakan suspek berjaya melarikan diri.
Beliau berkata, usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas diteruskan sehingga kini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.