Nibong Tebal: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, Abidin Ismail selesai mengundi di saluran tiga Sekolah Kebangsaan Sungai Duri pada 8.20 pagi pagi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Bakap, hari ini.
Lebih istimewa Abidin, 56, sempat bertemu dan bertanya khabar ibunya, Che Refiah Zakaria, 79, yang menjadi pengundi warga emas paling awal selesai mengundi pada 8 pagi dengan ditemani kakaknya, Zalina Ismail, 58.
"Alhamdulillah mak tunggu... memang jumpa setiap hari, tapi masa kempen ini agak sibuk, dua tiga hari sekali baru dapat jumpa dan mak ada penyakit gout itu yang datang guna kerusi roda bersama kakak saya," katanya ketika ditemui pemberita.
Naib Yang Dipertua PAS itu berkata, lebih bermakna, anak lelaki sulungnya yang berusia 18 tahun turut mengundi buat kali pertama pada PRK kali ini.
Sementara itu, Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin tidak membuang undi kerana beliau adalah pengundi di Dun Sungai Acheh, juga di bawah Parlimen Nibong Tebal.
Sungai Bakap ialah satu daripada tiga Dun di bawah Parlimen Nibong Tebal.