NIBONG TEBAL: Lima sekawan yang bersahabat dari kecil, teruja bersama-sama menunaikan tanggungjawab kali pertama sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, hari ini.
Malah, Hana Humaira Yusrizal, Amirah Syakirah Ardeni, Farah Farhana Azhar, Nur Athirah Mohd Zahid dan Nur Afiqa Syamimi Mohd Zaidi, masing-masing berusia 19 tahun, mengambil peluang mengatur pertemuan semula di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri, di sini, berikutan mereka membawa haluan sendiri selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini.
Hana Humaira berkata, terdahulu beliau menghantar mesej kepada rakan-rakannya itu untuk mengajak mereka hadir bersama menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat berkenaan.
"Kalau datang seorang diri, segan sikit. Lagipun sudah lama tidak jumpa kawan-kawan, jadi saya mesej mereka dan ajak datang mengundi sekali.
"Mereka bersetuju, tambahan pula kami sudah lama tidak berjumpa. Oleh itu, ini bolehlah dijadikan tempat pertemuan, selain mengimbau kenangan ketika kami belajar bersama di sekolah ini dulu," katanya ketika ditemui.
Amirah Syakirah pula mengajak pemilih berdaftar yang kali pertama supaya keluar mengundi untuk menentukan wakil rakyat mereka.
"Ini adalah tanggungjawab kita. Walaupun baru kali pertama mengundi, saya telah menyemak untuk mendapatkan maklumat supaya memilih calon yang betul.
"Pagi ini, saya teruja hadir untuk mengundi dan bersyukur semuanya dipermudahkan," katanya.