Antara pasport yang ditemukan menerusi Ops Sita di sebuah pejabat membawa, membekalkan dan menggaji warga asing di Johor Bahru. - Foto IHSAN IMIGRESEN JOHOR
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor menumpaskan kegiatan membawa, membekalkan dan menggaji pekerja asing secara tidak teratur dan tanpa kebenaran yang didalangi warga Pakistan di sini, Khamis lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata Unit Risikan Bahagian Penguatkuasaan Negeri Johor menjalankan Ops Sita hasil risikan enam bulan selepas menerima aduan dari orang awam.
Katanya, menerusi operasi berkenaan, Imigresen menahan tiga lelaki Pakistan berusia 28 hingga 50 tahun.
"Suspek utama berusia 28 tahun mendakwa mempunyai dua isteri warga tempatan.
"Siasatan awal mendapati syarikat yang disita didaftarkan atas nama wanita warga tempatan yang didakwa merupakan isteri kedua suspek dan syarikat itu dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama.
Anggota Imigresen Johor menggeledah sebuah pejabat membawa, membekalkan dan menggaji pekerja asing didalangi warga asing. - Foto Ihsan Imigresen Johor
"Kedua-dua lelaki warga Pakistan itu mengaku membayar RM7,000 untuk memperoleh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan salah seorang pekerja ditahan turut mengaku suspek utama adalah majikannya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, beberapa fail bukti pembayaran gaji, tawaran kerja, perjanjian membekalkan pekerja dan rekod salinan pasport serta Pas Lawatan Kerja Sementara turut dirampas selain 35 pasport Pakistan, 2 pasport India, masing-masing senaskah pasport Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.
Katanya, suspek utama warga Pakistan disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya sendiri dan Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Dua lagi suspek warga Pakistan disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen kerana bersubahat.
|