Mayat lelaki dipercayai terjatuh dari jambatan Linkedua menghala Singapura pagi tadi ditemukan nelayan jam 2.30 petang tadi. - Foto Bomba
ISKANDAR PUTERI: Mayat lelaki dipercayai terjatuh dari jambatan Linkedua menghala Singapura pagi tadi ditemukan nelayan jam 2.30 petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, mayat lelaki 45 tahun itu ditemukan selepas kira-kira tujuh jam kejadian oleh sekumpulan nelayan yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mayat ditemukan pada jarak 400 meter dari lokasi kejadian iaitu di kedudukan menghala ke Forest City di sini. Mayat dipercayai dibawa arus dan tersangkut di paya bakau.
"Mayat mangsa dibawa ke jeti Jabatan Laut berhampiran untuk diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan.
Pagi tadi media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Linkedua di laluan menghala ke Singapura.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.17 pagi.
Saksi di tempat kejadian berkata, lelaki itu yang menunggang motosikal berhenti tepi jambatan sebelum terjatuh.
|