LANGKAWI: Isi kuning dan tekstur berkrim durian diberi nama 'Adik Manis' menarik perhatian juri sehingga dinobatkan sebagai juara Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Daerah Langkawi 2024 di sini, hari ini.
Pemiliknya, Rashid Rusle, 28, yang mengusahakan dusun durian di tanah pusaka keluarganya di Kampung Sungai Itau bersyukur dan gembira selepas penyertaannya buat kali pertama dalam pertandingan itu membuahkan hasil.
"Ini durian yang terbaik dibawa dari dusun saya dan tidak sangka muncul pemenang pertama, sekali gus mengatasi 19 penyertaan lain yang kebanyakannya masing-masing turut memperagakan durian berkualiti tinggi.
"Keseluruhannya sebanyak 200 pokok durian dari pelbagai jenis ditanam oleh arwah datuk, sebelum diwarisi kepada bapa, Rusle Mat Ariff, 61, seterusnya saya sebagai penyambung warisan," katanya ketika ditemui.
Kejayaan itu membolehkan Rashid membawa pulang wang tunai RM500 beserta hamper.
Tempat kedua dimenangi Ahmad Murad, 73, dari Kampung Bukit Lembu, menerusi durian diberi nama 'Hijau Menawan', manakala Abd Muien Abd Jalil, 58, dari Kampung Bohor Merah (Cahaya Kasih) di tempat ketiga.
Pemenang kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 dan RM200 beserta hamper.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah di pekarangan Pejabat Pertanian Daerah Langkawi di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Pengembangan) Pertanian negeri, Rozaidi Abdul Rahman dan Pegawai Pertanian Daerah Langkawi, Khozaid Mansor.