View: 20974|Reply: 1
|
Penjara menanti pesalah MH17 jika keluar dari Rusia - Pendakwa raya
[Copy link]
|
|
Pada 17 Julai 2014, MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK semasa terbang melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine sehingga mengorbankan kesemua penumpang. - Gambar fail/BERNAMA
HAARLEM (BELANDA): Bekas Timbalan Pendakwa Raya yang mengetuai kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh, memberi peringatan kepada tiga lelaki yang dihukum penjara seumur hidup kerana menyebabkan kematian 298 penumpang, bahawa mereka akan ditahan dan dipenjara sekiranya meninggalkan Rusia.
Malah, menurut Digna van Boetzelaer yang kini merupakan Ketua Pendakwa Raya Holland Utara, kerajaan Belanda tidak pernah meminta ekstradisi atau penyerahan ketiga-tiga mereka ke negara itu kerana Rusia tidak mengekstradisi rakyatnya sendiri.
"Namun, setiap kali mereka (tertuduh) keluar dari Rusia, mereka boleh ditangkap dan dibawa ke Belanda dan akan dipenjara. Tetapi juga, setiap kali terdapat rejim berbeza, kita boleh mengadakan perbincangan dengan rejim itu mengenai kaedah untuk menyelesaikan perkara ini. Kita akan melihat langkahnya, namun ia tidak akan terhenti begitu sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia semasa program lawatan MH17 yang diadakan di Pejabat Pendakwa Raya "Noord-Holland", Haarlem, di Belanda.
Pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua bekas ejen perisikan Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko secara in absentia (tanpa hadir di mahkamah) selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan pembunuhan kesemua 298 penumpang.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan seorang lagi lelaki Rusia Oleg Pulatov atas pertuduhan sama.
Mengimbas kembali cabaran semasa siasatan, Boetzelaer berkata kerumitannya disebabkan perang yang sedang berlaku di Ukraine dan lambakan maklumat salah melalui Internet pada masa itu.
"Kejadian berlaku di tempat yang kita tidak boleh pergi. Ia tidak boleh diakses dengan bebas. Ada perang yang sedang berlaku, jadi keadaan itu membuatkan siasatan lebih rumit," katanya.
Mengenai bukti, Boetzelaer berkata saksi mengesahkan bahawa BUK TELAR yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu sedang diangkut dan dua lagi saksi menyatakan bahawa mereka melihat pelancaran peluru berpandu itu.
Pada 17 Julai 2014, MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK semasa terbang melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine sehingga mengorbankan kesemua penumpang.
Mangsa merupakan penumpang dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom.
-- BERNAMA
https://www.astroawani.com/berita-dunia/penjara-menanti-pesalah-mh17-jika-keluar-dari-rusia-pendakwa-raya-479222
|
|
|
|
|
|
|
|
Baru tengok fail mahkamah mh17
Byk yg x sempat discover masa tu
Nampak la betapa MY ni kerdil jer
Di who ar yus kan kuasa2 besar |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|