Wong dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas tidak mengaku belasah ibunya hingga parah. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Saya orang miskin, saya ada 'psy' (sakit mental)," demikian rayuan penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Dia didakwa atas pertuduhan memukul dan menyepak ibunya hingga retak jari kanan, minggu lalu.
Tertuduh, Wong Hoe Yang, 40, sebelum itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, Wong yang masih bujang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibu kandungnya berusia 70 tahun di sebuah rumah di Tangkak, antara jam 3.30 hingga 4 pagi, 16 Julai lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, dengan Seksyen 325 membolehkan tertuduh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika disabitkan, sementara Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum ke atas sabitan bagi kesalahan mengikut seksyen relevan.
Berdasarkan laporan polis, kejadian berlaku ketika tertuduh tidur dalam bilik bersama mangsa, namun secara tiba-tiba memukul, menyepak dan terajang ibunya.
Sebelum kejadian, tertuduh ada berselisih faham dengan ibunya dan kemuncaknya apabila dia didakwa bertindak di luar kawalan, malah dia juga dilapor menutup mulut ibunya ketika memukul mangsa kerana bimbang jeritan itu didengari jiran.
Mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan meminta bantuan orang ramai pada keesokan hari selepas anaknya keluar membeli sarapan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Difahamkan, tertuduh gagal membayar ikat jamin dan dihantar ke ke Pusat Koreksional Muar.
|