George Town: Tiada keperluan bagi menukar nama bandar George Town yang sudah digunakan lebih 200 tahun lalu, kata Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang (NUSA).
Setiausahanya, Nurhafiza Huda Idris berkata, dalam tempoh itu ia dikenali sebagai ibu negeri Pulau Pinang oleh rakyat negara ini dan juga masyarakat dunia.
Katanya, isu remeh seperti tukar nama yang sudah terkenal tidak perlu dibangkitkan lagi.
"Malah pemimpin perlu tampil dengan idea yang lebih bernas bagi bawa Pulau Pinang terus maju ke hadapan.
"Penukaran nama yang dicadang seakan memadamkan sejarah, seni bina dan warisan yang unik di negeri Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sekali lagi menggesa nama bandaraya George Town ditukar kepada Tanjung Penaga.
Nurhafiza berkata, pihak berkenaan perlu beri fokus kepada isu yang lebih kritikal di negeri ini.
Malah bandaraya itu juga sudah mendapat banyak pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
"Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga mengiktiraf George Town sebagai Bandaraya Warisan Dunia pada 7 Julai 2008.
"Kita harus berbangga bahawa nama warisan George Town ini dikenali pelancong dari serata dunia.
"Keunikan bandar George Town juga selari dengan tinggalan bangunan warisan yang dikekalkan identiti seni bina kacukan timur dan barat sehingga ke hari ini," katanya lagi.