LORI digunakan penyeludup untuk mengangkut daging babi sejuk beku. FOTO Ihsan polis.
Pasir Gudang: Dua lelaki warga tempatan ditahan ketika memindahkan 197 kotak berisi daging babi sejuk beku tanpa permit di jeti haram Teluk Kabong, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, serbuan pada 6.30 pagi itu dilakukan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 bersama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pengerang.
Katanya, ketika ditahan, suspek lelaki tempatan berusia 55 tahun sedang memindahkan bekalan dari bot ke lori untuk dibawa keluar.
"Selain itu, turut dirampas bot gentian kaca, seunit enjin bot dan lori jenama Isuzu, dengan keseluruhannya dianggarkan RM337,750.00.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan dan memberi amaran kepada mana-mana pihak agar menghentikan dan tidak terbabit kegiatan melanggar undang-undang, selain merugikan negara.
|