Langkawi: Dua wanita mualaf ini bersyukur beroleh hidayah Allah SWT apabila mengakui kehidupan berubah kepada lebih tenang dan bertambah baik sejak memeluk Islam.
Pengusaha belacan Fatimah Yana Abdullah, 55, dari Kampung Belanga Pecah, di sini, berkata mimpinya didatangi lelaki berserban bercerita indahnya syurga mengetuk pintu hatinya untuk memeluk Islam kira-kira 30 tahun lalu.
"Saya benar-benar yakin untuk memeluk Islam selepas bermimpi didatangi lelaki berserban dan gembira kerana diberi hidayah pada usia muda. Sejak itu kehidupan jadi lebih tenang, malah sentiasa dibuka rezeki.
"Saya menerima tunjuk ajar dan bantuan pelbagai pihak termasuk Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim)," katanya.
Manakala rakannya, Aminah Abdullah, 61, dari Kampung Hujung Penarak, di sini, berkata tiada paksaan untuknya bertukar agama sejak 20 tahun lalu, namun lebih kepada ingin mengenali Allah SWT dan kehidupan selepas kematian.
"Saya tertarik melihat tingkah laku serta cara rakan-rakan beragama Islam berpakaian menutup aurat dan cara mereka membawa diri telah membuatkan saya mendekati Islam dan mengucap kalimah syahadah," kata peniaga cendol itu.
Mereka ditemui pada Program Khidmat Masyarakat - Pemantapan Pengurusan Perniagaan anjuran PTSS, Ikram dan Perkim di Kampung Hujung Penarak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Perkim Kedah Datuk Mansor Ismail, Yang Dipertua Ikram Kubang Pasu Rosmidin Ahmad dan Ketua Program Diploma Pengajian Perniagaan PTSS B C Sajamoon.