Gambar fail 16 Ogos, 2022 menunjukkan seorang pesakit dengan tapak tangan melepuh dengan ruam hitam susulan jangkitan virus mpox menerima rawatan di wad isolasi Hospital Arzobispo Loayza di Lima, Peru. - Gambar AFP
MANILA: Filipina semalam melaporkan kes pertama monkeypox (mpox) tahun ini, tetapi jabatan kesihatan masih belum dapat mengesahkan sama ada ia varian baharu yang lebih berbahaya yang mencetuskan amaran global.
Strain virus terbabit yang lebih berbahaya dan mudah berjangkit dikenali sebagai Clade 1b telah membunuh ratusan pesakit di Republik Demokratik Congo (DRC) serta dikesan di Sweden dan Pakistan sejak beberapa hari lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lepas mengesahkan peningkatan kes mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan peringkat antarabangsa, tahap amaran tertingginya.
Seorang lelaki Filipina berusia 33 tahun yang mendapat virus itu didapati tidak pernah pergi ke luar negara, menurut kenyataan jabatan kesihatan. Kesnya dilaporkan oleh sebuah hospital kerajaan kelmarin.
Pihak berkuasa kesihatan sedang menunggu keputusan penjujukan sama ada ia adalah kes Clade 1b.
"Simptom diadu pesakit bermula lebih seminggu lalu dengan demam panas yang disusuli empat hari kemudian dengan penemuan ruam ketara pada muka, belakang badan, tengkuk, pangkal paha, punggung serta tapak tangan dan tapak kaki," menurut jabatan terbabit lanjut.
Keputusan ujian spesimen daripada kelecetan kulit pesakit didapati positif monkeypox viral DNA, tambahnya.
Kes tersebut adalah jangkitan mpox kesepuluh yang disahkan makmal yang dilaporkan oleh jabatan kesihatan Filipina, dengan kes terbaharu sebelum ini direkodkan Disember tahun lepas.
Jabatan itu sedang mengemas kini garis panduan mpox untuk menggalakkan mereka yang menunjukkan simptom untuk mendapatkan rundingan dan saringan. "Sistem kesihatan kami berfungsi.
"Kami dapat menangani situasi ini dan akan memaklumkan sepenuhnya kepada awam," menurut kenyataan daripada setiausaha kesihatan Teodoro Herbosa. - AFP
https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/20/filipina-lapor-kes-pertama-mpox
|