39 bas ekspres disaman kerana tiada pemandu kedua
Oleh Nur Izzati Mohamad - September 14, 2024 @ 11:34pm [email protected]
Anggota JPJ Pulau Pinang memeriksa bas ekspres dan persiaran dalam Operasi Khas Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) di Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam. - Foto Facebook JPJ Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman ke atas 39 pemandu bas ekspres dan persiaran dalam Operasi Khas Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) di Plaza Tol Juru, di sini, malam ini.
Menurut kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial Facebook (FB) JPJ negeri, memaklumkan semua saman itu dikeluarkan atas kesalahan tiada pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh melebihi 300 kilometer (km) atau pemanduan melebihi empat jam.
"Dalam operasi itu, kita turut mengesan kesalahan lain antaranya tiada Lesen Perubahan Sementara (LPS), tiada lesen memandu dan tiada lesen memandu PSV.
"Terdapat juga kesalahan tidak kemaskini buku log pemandu, gagal selenggara kenderaan dengan baik dan kesalahan teknikal.
"Keseluruhannya, sebanyak 219 notis saman dikeluarkan dalam operasi malam ini," katanya.
Seramai 26 anggota penguat kuasa JPJ negeri terbabit dalam operasi itu yang bermula dari jam 6 pagi hingga 11 malam.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1298413/39-bas-ekspres-disaman-kerana-tiada-pemandu-kedua
|